Hukuman mati di Arab Saudi ke atas pesalah bawah umur dihentikan. Gambar hiasan

RIYADH – Arab Saudi tidak lagi menjatuhkan hukuman mati ke atas mana-mana individu yang di bawah usia 18 tahun, menurut media Okaz Arabic yang memetik sumber sebagai berkata.

Presiden Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Awwad Alawwad menyambut baik keputusan kerajaan yang mengakhiri pelaksanaan hukuman mati ke atas individu yang disabitkan dengan jenayah yang dilakukan ketika mereka masih di bawah umur.

“Ini adalah hari penting bagi Arab Saudi.

”Raja Salman dan Putera Mahkota Muhammad Bin Salman telah memutuskannya,” kata Alawwad.

Keputusan itu bermaksud mana-mana individu yang dijatuhi hukuman mati kerana jenayah yang dilakukan semasa dia masih di bawah umur tidak lagi dikenakan hukuman mati.

Sebaliknya, individu tersebut akan menerima hukuman penjara tidak lebih dari 10 tahun di sebuah pusat tahanan remaja.
“Lebih banyak pembaharuan akan datang,” kata Alawwad.

Menurutnya, keputusan itu membantu Arab Saudi melaksanakan kanun acara jenayah yang lebih moden dan menunjukkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan reformasi utama di semua sektor negara dalam menjayakan Wawasan 2030.

Alawwad berkata, pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas Arab Saudi secara efektif menghentikan hukuman merotan sebagai hukuman jenayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast