IPOH – Pandemik Covid-19 membawa pelbagai hikmah antaranya kepada badan-badan bukan kerajaan untuk menggandakan amal jariah serta kebajikan kepada golongan yang memerlukan pada saat-saat genting ini.
Malah dalam suasana krisis yang amat mencabar ini, bukan sahaja kerajaan serta parti politik berlainan idealogi tampil membantu sebaliknya badan korporat serta individu berteruskan meningkatkan sumbangan saban hari.
Untuk warga sekitar Ipoh, masing-masing dapat menarik nafas lega dengan kehadiran ‘Kitchen of Hope’ sejak dua minggu lepas yang begitu agresif serta bermurah hati dalam menyumbang beribu pek makanan ‘sayur-sayuran’ kepada golongan B40 serta amat memerlukan.
MalaysiaGazette yang sempat bercakap dengan salah seorang kordinator merangkap jurucakap, Novinthen Krishnan.
Beliau berkata, objektif utama badan kebajikan ini adalah fokus kepada warga sekitar Ipoh khasnya kumpulan B40 yang sedang melalui kehidupan sukar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kata Novinthen setakat ini ramai tampil membantu memberi sumbangan serta mempermudahkan prosedur demi untuk membantu mereka yang memerlukan.
Jelas Novinthen, Kitchen of Hope sebenarnya dimulakan oleh Yayasan VK Kalyanasundaram bersama Persatuan Nesakaranggal Perak dan Sanathana Dharam Ipoh.
“Ramai yang sedang melalui masa paling sukar ketika ini, ini bukan lagi soal duduk rumah dan kekal tenang sebaliknya tentang kehidupan seharian mereka lagi-lagi golongan yang sudah hilang pendapatan, demi sesuap nasi.
“Kita didekati ramai golongan ini, bukan soal bantuan barangan sahaja malah ada juga yang tidak cukup makanan. Kumpulan inilah yang kita dekati, pastikan ada makanan atas meja mereka setiap malam.
“Kita menyediakan makanan sayur-sayuran ‘vegetarian’ supaya ianya mudah dimakan oleh semua, tidak kira kaum sebenarnya dan sihat sekali. Sebanyak 1,200 pek makanan kita sediakan serta menghantarnya ke lokasi-lokasi yang dikenalpasti.
“Kepada yang ada anak-anak kecil, kita juga bekalkan susu botol kepada mereka.
“Antara yang menerima bantuan ini sebenarnya tidak kira kaum, semuanya sekali. Melayu, Cina, India malah juga warga asing seperti Indonesia terutamanya yang bekerja untuk gaji harian.
“Yang penting sekali, makanan itu cukup untuk semua,” katanya sebentar tadi.
Novinten mendedahkan, ramai tampil membantu termasuk Pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi memastikan Kitchen of Hope terus beroperasi membantu golongan memerlukan.
“Pihak MB melalui pegawai khas kanan, Mohd Hafez Mubin Mohd alleh telah menyumbang 500kg beras kepada Kitchen of Hope untuk diagihkan kepada lebih 5,000 warga Ipoh.
“Selain itu ramai juga termasuk orang perseorangan memberikan apa yang termampu malah kita mempunyai sekurang-kurangnya 20 sukarelawan yang bantu memasak manakala 50 orang lagi bantu dari segi logistik termasuk menghantar pek makanan tersebut.
“Kumpulan yang membantu kita pula dalam kalangan rakyat tempatan anak jati negeri termasuk warga profesional seperti doktor, peguam, korporat dan ramai lagi. Masing-masih menghulur tangan bukan untuk membantu golongan memerlukan sebaliknya juga mengurangkan bebanan kerajaan menanggung semuanya.
“Hakikatnya, anda pastinya akan tersentuh dan teruja melihat senyuman lega pada wajah-wajah itu, akhirnya itu sahaja yang penting pada akhirnya.
“Kita akan meneruskan usaha ini sepanjang PKP dan juga jika diberikan peluang, pastinya selepas PKP juga, kita akan pasti membantu mengikut keperluan sehinggalah permasalahan menangani pandemik ini dapat diselesaikan sepenuhnya,” ujarnya. –MalaysiaGazette
Kitchen of “HOPE”.. hmm
Tak plu kot nk bg kat org islam n mlyu..bg kat puakz kafir je lh…kami org islam puasa n lagi satu kamu masak masa puasa…