Seorang pejalan kaki sedang melalui hadapan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Belanjawan 2020 di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan tertentu di cawangan yang terletak di negeri Pulau Pinang pada 8 Mei 2020 manakala Kedah pada 10 Mei dan Kelantan pada 11 Mei

Cawangan di Pahang, Sabah dan Sarawak akan kekal tutup sehingga dimaklumkan kelak.

Operasi KWSP di Wilayah Persekutuan, Selangor, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu telah beroperasi semalam.

Perkhidmatan yang akan disediakan di cawangan-cawangan yang dinyatakan adalah Pengeluaran Umur 50/55/60, Pengeluaran Kesihatan dan pengaktifan serta pengemaskinian maklumat i-Akaun.

KWSP berkata, bagi menjaga kesihatan dan keselamatan ahli dan anggota, pihaknya akan terus melaksanakan
beberapa syarat yang ketat di cawangan seperti berikut:

A. Bagi mengurangkan risiko pendedahan Covid-19 ke atas ahli dan anggota, cawangan hanya menyediakan transaksi yang mudah dan cepat yang tidak memerlukan kontak secara fizikal, iaitu Pengeluaran Umur 50/ 55/ 60, Pengeluaran
Kesihatan dan pengaktifan serta pengemaskinian maklumat i-Akaun;

B. Para majikan tidak dibenarkan untuk hadir di cawangan kerana semua perkhidmatan boleh dilakukan dengan menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing;

C. Semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial yang ditetapkan ketika hadir di cawangan; dan
D. Ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online di laman sesawang www.kwsp.gov.my. – MalaysiaGazette