Anggota tentera membuat kawalan laluan keluar masuk kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2020.

RATA-rata majoriti anggota masyarakat bersetuju dan menyambut baik keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020. Walaupun dalam tempoh ini kita akan
menyambut beberapa perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, namun masyarakat kelihatan sudah boleh memahami tujuan kerajaan melanjutkan PKPB di samping masing-masing memberi keutamaan kepada
aspek kesihatan diri dan keluarga.

Kita menyokong penuh pelanjutan ini atas beberapa sebab dan justifikasi yang kukuh antaranya, walaupun statistik kes harian wabak Covid-19 di negara kita berada dalam dua digit serta dapat dikawal namun trend turun naik kes tetap mencetuskan
kebimbangan. Ini ditambah pula dengan kemunculan beberapa kluster baharu terutamanya membabitkan pekerja warga asing seperti di Pedas dan di pusat membeli-belah di Cheras. Jadi kita percaya pelanjutan PKPB ini akan membantu memerangi penularan wabak ini dalam kalangan kluster baharu tersebut, di samping dapat membendung cetusan kluster baharu yang lain.

Pelanjutan ini juga difikirkan sangat wajar setelah mengambilkira situasi, yang mana masih ada segelintir anggota masyarakat kita yang terus degil dan ingkar perintah. Tindakan tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam semua aktiviti ekonomi dan sosial yang telah dibenarkan beroperasi semula masih membimbangkan. Mereka ini bukan saja membahayakan diri dan keluarga tetapi turut memberi ancaman kepada orang lain. Jadi kita risau
sikap dan tingkah laku yang tidak bertanggungjawab seperti ini boleh mencetuskan banyak lagi kluster baharu. Dengan adanya pelanjutan ini diharap tahap disiplin rakyat akan terus meningkat naik.

Dalam pada itu, penulis percaya pelanjutan PKPB ini juga bakal membuka ruang yang lebih baik kepada anggota masyarakat untuk memahami dengan jelas kesemua SOP yang telah diperkenalkan oleh pihak berkuasa mulai 4 Mei yang lalu. Setiap
entiti perniagaan misalnya mempunyai SOP tersendiri mengikut sifat dan keperluan perniagaan masing-masing, justeru para pelanggan perlu diberi masa secukupnya untuk memahaminya supaya dapat dijadikan amalan dan budaya. Malah para peniaga juga memerlukan masa untuk membiasakan norma baharu ini ketika berurusan dengan pelanggan. Harus diingat inilah kali pertama kita memperkenalkan begitu banyak SOP dalam urusan seharian kita mencakupi hampir semua aktiviti harian di luar.

Walaupun kita sedih tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, namun pelanjutan PKPB ini membolehkan kita menyekat dan mengawal penularan wabak ini dan sudah semestinya kita tidak mahu
mencetuskan kluster Hari Raya Aidilfitri. Harus diingat pada ketika ini soal kesihatan dan keselamatan perlu diberi keutamaan. Jangan lupa virus ini boleh menjadi ancaman yang besar kepada golongan warga emas dan kanak-kanak, jadi eloklah aktiviti ziarah dan balik ke kampung ini ditangguhkan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Kita percaya bila wabak ini dapat dikawal sepenuhnya, aktiviti rentas sempadan negeri akan dibenarkan semula seperti biasa dan pada ketika itu kita boleh menziarahi ahli keluarga di kampung. Diharap ibu bapa di kampung dapat memahami situasi ancaman wabak yang sedang kita hadapi sekarang.

Ironinya pihak kerajaan nampak sangat komited dan yakin dengan perancangan untuk memerangi wabak ini sehabis mungkin demi kepentingan rakyat. Walaupun kita sedar sukar untuk mencapai angka sifar, masih tidak tahu bila akan ditemukan vaksin untuk virus ini dan ramai yang berpandangan virus ini akan berada dengan kita untuk tempoh yang lebih lama, namun kita tidak boleh berputus asa atau menghentikan segala usaha kita. Justeru rakyat perlu terus meningkatkan tahap
disiplin dan pematuhan sekali gus menyokong penuh segala usaha dan inisiatif pihak berkuasa dalam memerangi musuh yang tidak kelihatan ini. Maka terimalah dengan lapang dada pelanjutan PKPB ini adalah untuk kepentingan dan keselamatan kita bersama.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast