Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Langkah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menawarkan khidmat pekerja tempatan di Pasar Borong Kuala Lumpur mampu memberi nafas baharu kepada anak muda yang menganggur.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, dasar yang diperkenalkan Annuar untuk tidak membenarkan pekerja asing bekerja di pasar borong berkenaan juga harus disokong oleh semua pihak.

“Diharapkan anak muda tidak mensia-siakan rezeki peluang pekerjaan ini dan tidak memandang rendah kepada kerja-kerja berkaitan 3D – Dangerous (Bahaya), Dirty (Kotor), Difficult (Susah).

“Stigma tersebut harus dibuang dan kita perlu bekerja keras,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, tawaran gaji sebanyak RM2,400 sebulan jauh lebih tinggi daripada gaji minimum ketika era Pakatan Harapan (PH) yang hanya menetapkan RM1050 dan kemudian hanya menaikkan lagi dengan kadar hanya RM50.

Katanya, di saat PH gagal menunaikan manifesto mereka untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda, kerajaan Perikatan Nasional hari ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda, walaupun ketika negara dibadai pelbagai krisis.

Ujarnya, di saat negara dilanda wabak Covid-19, ramai anak muda hilang pekerjaan dan menganggur.

Bagaimanapun katanya, cadangan untuk menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur oleh Kementerian Wilayah Persekutuan kepada golongan belia yang menganggur dengan bayaran gaji sebanyak itu sememangnya terkandung rahmat di sebalik musibah yang terjadi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.