KUALA LUMPUR – Walaupun sesetengah pihak mempertikaikan pelantikan Zakaria Abdul Hamid sebagai pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) namun ada juga menyokongnya.

Malah bekas Ketua Cabang PKR Bera itu diyakini mampu memperkasakan urustadbir badan itu.

Menurut pemain dram, komposer dan penulis lirik kumpulan muzik metal Farasu, Mustafa Kamal Abdul Rahman, pelantikan Zakaria bertepatan dengan kelayakan dan pengalaman dalam dunia korporat dan pengurusan organisasi.

“Inilah hasrat dan visi Menteri Komunikasi dan Multimedia bagi membantu karyawan dan industri perfileman tanahair melalui pentadbiran yang cekap dan tersusun selain mengambil perhatian aspek-aspek kebajikan.

“Gabungan tenaga serta idea antara Zakaria dan Datuk Norman Abdul Halim yang mewakili golongan karyawan dilihat mampu menyusun kecekapan dan kelancaran urustadbir FINAS bagi mengangkat industri perfileman Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sabtu lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Zakaria dan Norman, masing-masing sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi Finas yang baharu.

Pelantikan kedua-dua individu berkenaan bagi tempoh dua tahun dan berkuatkuasa serta-merta.

Zakaria merupakan ahli perniagaan dan aktivis masyarakat dan berkelulusan Sarjana Perancangan Bandar dari California State University, Amerika Syarikat.

Beliau menggantikan Datuk Hans Isaac yang telah berkhidmat sejak April 2019.

Manakala Norman pula mempunyai pengalaman yang luas dalam industri media dan hiburan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau juga menyandang jawatan sebagai Presiden Yayasan KRU. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zakaria dilantik Pengerusi FINAS baharu