Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi

KUALA LUMPUR – Presiden  Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mengucapkan tahniah atas pelantikan semula Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berkuatkuasa Jumaat lalu.

Menerusi laman Instagram, Zed atau nama sebenar Rozaidi Jamil bagaimanapun berharap pengarah filem itu akan belajar daripada kesilapan lalu.

“Tahniah my bro Ahmad Idham dilantik semula sebagai CEO Finas. Satu sahaja yang saya nak pesan belajar daripada kesilapan lepas.

“Kena faham mana kawan, mana lawan dan yang paling penting jangan meroyan! Belanja makan durian tak apa sebab dah musim,” tulis Zed Zaid.

Jumaat lalu, FINAS mengumumkan pelantikan semula Ahmad Idham sebagai CEO agensi itu untuk tempoh dua tahun hingga 6 Jun 2022.

Pada 9 Disember tahun lalu, permohonan Ahmad Idham untuk menamatkan perkhidmatannya setahun lebih awal iaitu pada 10 Mac lalu atas sebab peribadi diluluskan agensi berkenaan.

FINAS kemudian memaklumkan Ahmad Idham meninggalkan jawatannya pada 10 Mac lalu selepas memohon agar kontraknya dipendekkan atas sebab-sebab peribadi.

Selepas itu, beliau direhatkan daripada tugasnya selama sebulan sebelum meneruskan tugasnya semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada awal tahun ini.

Justeru itu, Zed meluahkan rasa kecewa dengan tindakan FINAS yang meluluskan permohonan tersebut tanpa merujuk kepada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo terlebih dulu.

Zed mendakwa ada pihak berkepentingan cuba campur tangan dalam bidang tugas Ahmad Idham sebagai CEO. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKENAAN:

Ahmad Idham dilantik semula CEO FINAS