KKM) akan melaksanakan perkhidmatan dua syif di beberapa klinik terpilih secara perintis pada peringkat awal sebelum diperluaskan ke klinik kesihatan lain.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan perkhidmatan dua syif di beberapa klinik terpilih secara perintis pada peringkat awal sebelum diperluaskan ke klinik kesihatan lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu, pihaknya juga mempertimbangkan potensi penambahan jawatan, peralatan serta keperluan di sesebuah klinik bagi memudahkan pelaksanaan dua syif.

“Antara cadangan diketengahkan adalah kita merancang untuk melaksanakan dua syif dan apa yang penting adalah salah satu cadangan yang kementerian kita lihat bagi mengurangkan kesesakan dan juga memanjangkan masa perkhidmatan.

“Sebelum hendak melaksanakannya perlu lihat kepada sumber manusia warga KKM dan penambahan jawatan supaya memudahkan pelaksanaan dua syif.

“Jadi, mungkin kita akan laksanakan cara perintis dulu di beberapa klinik kesihatan dengan fasiliti jawatan dan peralatan perubatan ditambah lahgi,” katanya dalam sidang media jangkitan semasa Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab desakan Kongres Kesatuan Perkerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk menangguhkan sementara pelaksanaan dua syif dan memerlukan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan tanpa terburu-buru dalam hal tersebut.

Tambah Noor Hisham, kalau pihaknya berkeputusan untuk menggunakan kekuatan tenaga sumber manusia sedia ada ia akan memungkinkan ramai dalam kalangan petugas kesihatan tidak bersetuju dengan cadangan dua syif.

“Ada kemungkinan petugas kesihatan pelbagai sektor di klinik dan hospital tidak setuju kerana risau terpaksa bekerja dua syif dari pagi hingga malam.

“Jadi, apa yang penting kena lihat pada isu-isu pelaksanaan, walaupun cadangan itu (dua syif) adalah cadangan yang baik tetapi isu pelaksanaan harus diketengahkan atau dibincangkan dengan agensi-agensi yang terlibat untuk mencapai kata sepakat dan dipersetujui bersama,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast