Temubual eksklusif bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain sempena sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Pusat Latihan Chini, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 21 JUN 2020

CHINI – “Saya berada dalam kepimpinan adalah kerana jasa Allahyarham”.

Itu perkara pertama yang keluar daripada mulut calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain ketika ditanya mengenai hubungan beliau dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Eksklusif kepada MalaysiaGazette, anak muda Chini berkata, beliau sangat terhutang budi dengan allahyarham yang tidak jemu-jemu menurunkan segala ilmu politik serta nasihat kepadanya sebelum ini.

Sebagai orang kanan allahyarham, Mohd Sharim berkata, Abu Bakar menasihatkan beliau agar teguh kepada prinsip yang membezakan gelaran Yang Berhormat dan Yang Berkhidmat.

“Dia utamakan prinsip maksudnya tidak semua sama dari segi prinsip jadi kita kena buat keputusan yang akan menentukan baik atau buruk.

“Jika keputusan yang kita buat itu buruk, ia akan mendatangkan kesan buruk kepada semua. Kalau baik ia akan memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Riak wajah bapa kepada lima anak ini mula berubah apabila diutarakan pertanyaan mengenai saat-saat pemergian Abu Bakar.

Air matanya mula menitis tatkala menceritakan detik-detik terakhir beliau menguruskan pengkebumian allahyarham Abu Bakar.

“Apabila saya mendapat berita pada jam 2.30 pagi, dimaklumkan bahawa Allayarham telah kembali ke rahmatullah, itu satu perkara yang mengejutkan kepada saya. Rakan-rakan ajak pergi ziarah, masa itu saya masih tidak dapat menerima khabar sedih itu.

“Hati saya nak pastikan di mana tempat kebumi arwah, dan di dikebumikan di Chini. Saya nak berada di dalam liang untuk saya semadikan,” katanya dalam nada sebak.

Allahyarham Abu Bakar meninggal dunia pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung.

Jenazah Abu Bakar dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Chini.

Temubual eksklusif bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain sempena sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Pusat Latihan Chini, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 26 JUN 2020

Tidak putus-putus dengan ucapan terima kasih terhadap jasa-jasa yang dicurahkan oleh allahyarham, susuk tubuh sasa ini masih kelihatan terkejut dengan pencalonan beliau sebagai calon.

Secara jujur, anak jati Felda Chini 3 itu berkata, pengumuman itu ternyata di luar jangkaan beliau.

“Setelah saya dimaklumkan sebagai calon, saya rasa terkejut dan di luar jangkaan saya. Perkara yang saya fikirkan adalah tanggungjawab besar yang diberikan kepada saya dan saya melihat ini sebagai ketentuan Allah.

“Saya mengambil kepercayaan yang telah diberikan oleh kepimpinan parti BN kepada saya dengan rasa penuh rasa tanggungjawab dan integriti untuk memastikan tanggungjawab ini dapat digalas dengan penuh amanah dan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Melihat kepada kredibiliti Mohd Sharim, beliau boleh dianggap calon terbaik yang BN dapat tampilkan bersandarkan kepada kelayakan yang dimilikinya.

Untuk rekod, Mohd Sharim merupakan Pengerusi Majlis Belia Felda Kuantan. – MalaysiaGazette