Ahli Perlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) bertanyakan sesuatu dengan seorang penduduk pada Program Bersama Rakyat sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Batu Gong, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2020.

CHINI – Hanya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sahaja yang boleh menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli di Chini, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lantaran itu, Najib berkata masyarakat Orang Asli tidak mempunyai pilihan lain, selain daripada memilih calon BN, Mohd Sharim Md Zain yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini sebagai wakil rakyat mereka di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Cuma BN sahaja yang boleh menentukan masa depan yang kita kehendaki pada Orang Asli.

“Tadi ada Tok Batin kata nak elektrik, air, Rancangan Tanah Kelompok dan sebagainya. Ini semuanya telah diberikan masa BN memerintah tapi tempoh 22 bulan bila kita kalah, PH tak ambil berat langsung, malah bantuan kepada Orang Asli yang disekat dan ditahan umpamanya subsidi bas sekolah.

“Calon bebas tidak boleh bantu Orang Asli. Sudah tentu kalau kita nak undi, kita undi orang yang boleh tolong kita.

“Tak masuk akal bagi undi kepada calon yang tidak boleh tolong kita dan lepas PRK tak nampak batang hidung dia,” katanya ketika berucap di hadapan masyarakat Orang Asli di Kampung Gendrum, Batu Gong, hari ini.

Ini hari keempat Ahli Parlimen Pekan itu turun berkempen untuk Mohd Sharim pada PRK Chini yang berakhir 4 Julai depan.

Gelagat seorang perempuan orang asli memegang poster Barisan Nasional pada Program Bersama Rakyat sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Batu Gong, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2020.

Najib berkata, Orang Asli sudah banyak kali dikhianati terutamanya semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, banyak bantuan yang disalurkan kepada masyarakat Orang Asli dihentikan mahupun dikurangkan sebelum ini.

“Dalam tempoh 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan, masyarakat Orang Asli telah dipinggirkan oleh mereka.

“Banyak bantuan kebajikan yang dulunya dapat tapi zaman PH banyak yang tak dapat. Yang dapat pun dikurangkan jumlahnya.

BN berdepan saingan tiga penjuru pada hari pengundian 4 Julai ini apabila dua calon Bebas iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, turut bertanding pada PRK Chini, kali ini.

Terdapat 20,990 pengundi berdaftar, termasuk 18 pemilih awal, dalam DUN Chini, yang merupakan kubu BN sejak PRU ke-11 pada 2004 menerusi penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tipu jaga?

    Gelandangan dalam hutan…kata jaga?

    Sekarang kata jaga?

    Dulu terbiar

    Atau jual orang asli?

Comments are closed.