Adnan Mat. foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menyerap kesemua 241 bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ekoran pembubaran agensi tersebut pada 2018.

Presidennya, Adnan Mat berkata, walaupun mereka ini telah ditempatkan secara kontrak di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), namun kontrak mereka yang akan tamat pada hujung tahun ini dan nasib mereka masih tidak diketahui lagi.

“CUEPACS) menggesa kerajaan menyerap kesemua mereka ke jawatan tetap dengan segera berdasarkan kelayakan, tempoh berkhidmat dan prestasi kerja masing-masing.

“Kami difahamkan mereka masih lagi tidak menerima apa-apa maklumat terkini berhubung perancangan semasa kerajaan mengenai nasib mereka di JPJ.

“Malah kesemua kakitangan tersebut masih belum memperolehi apa-apa maklumat berkaitan status kontrak yang akan tamat pada 31 Disember 2020 daripada pengurusan tertinggi JPJ,” katanya pada sidang media di Wisma CUEPACS, hari ini.

Sebelum ini, seramai 189 bekas kakitangan SPAD di mana sebahagian besar adalah dari Bahagian Penguatkuasaan agensi itu telah diserap masuk ke JPJ ketika Anthony Loke menjadi Menteri Pengangkutan pada 11 Februari 2019.

Kemudian pada 29 April 2019, seramai 77 bekas kakitangan SPAD telah diserap dan fasa ketiga adalah pada 2 Januari 2020 dengan seramai empat kakitangan ke jawatan kontrak.

Sehubungan itu katanya, CUEPACS menggesa kerajaan tidak menamatkan perkhidmatan kesemua 241 bekas kakitangan SDPA terbabit sehingga mereka diserapkan ke jawatan tetap.

“CUEPACS sekali lagi menggesa agar kerajaan memberi perkhabaran gembira dengan menyerap kesemua bekas kakitangan SPAD ke jawatan tetap di JPJ.

“Janganlah didera perasaan mereka dengan tindakan gantung tidak bertali ini.

“Walaupun keputusan sebelum ini banyak melibatkan kerajaan PH, tanggungjawab menjaga kebajikan penjawat awam harus diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan mengenepikan sentimen politik masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin kepada kebajikan rakyat khususnya dalam mendepani pandemik Covid-19, Perdana Menteri digesa menjadikan kebajikan penjawat awam tetap menjadi keutamaan.

“Besarlah harapan CUEPACS agar kerajaan dapat memperbaharui kontrak kesemua kakitangan SPAD yang berkhidmat di JPJ sebelum meneruskan langkah-langkah menyerap kepada lantikan tetap di JPJ,” katanya lagi. – MalaysiaGazette