Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) komited menambah baik liputan bekalan air sehingga 98 peratus  di luar bandar menjelang tahun 2025.

Memastikan usaha tersebut tercapai, menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebuah jawantankuasa peringkat nasional bagi Pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) akan ditubuhkan untuk koordinasi dan kawal selia di seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak.

“Jawatankuasa ini fokus kepada usaha menambah baik kualiti perkhidmatan menerusi pembangunan infrastruktur dan sistem bekalan air yang mematuhi garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) seperti yang termaktub dalam Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655) dan operasi serta sistem BALB alternatif yang lebih mampan.

“Dua agensi KASA iaitu Bahagian Bekalan Air dan
Jabatan Pengairan dan Saliran terlibat aktif dalam perancangan dan pelaksanaan projek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaksanaan Projek BALB melibatkan pelbagai kementerian dan agensi merangkumi KASA, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA), FELDA dan Lembaga Kemajuan Wilayah. -MalaysiaGazette