Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof cuba mengambil keuntungan politik di sebalik pengumuman keuntungan RM1.25 bilion Tabung Haji (TH) bagi enam bulan pertama 2020.

Hakikatnya, sebahagian besar keuntungan tersebut merupakan keuntungan sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang masih belum dibayar.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, keuntungan itu hanya di atas kertas dan TH menanggung risiko amaun ini berkemungkinan tidak akan dibayar selagi mana sukuk tersebut belum dijamin oleh kerajaan.

“Keuntungan ini juga disumbangkan oleh ketiadaan ibadah haji tahun ini. Secara tidak langsung, TH tidak perlu mengeluarkan subsidi sebanyak RM300 hingga RM400 juta seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

“Namun, prestasi keuntungan TH masih jauh ketinggalan berbanding tahun-tahun terakhir pemerintahan Barisan Nasional (BN). Pada 2017, TH mencatatkan keuntungan RM3.412 bilion,” katanya.

Keuntungan ini telahpun diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara pada zaman awal pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Adakah keuntungan bagi tahun 2018 dan 2019 yang dibangga-banggakan oleh Mujahid telahpun diaudit oleh pihak berkuasa? Jika ya, dimana laporan audit tersebut?

“Pengakuan Kekanda Mujahid bahawa tidak berlaku sebarang penjualan aset Tabung Haji juga meleset,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, semalam.

Dalam pada itu, laporan The Edge Daily pada 21 Mac 2020 mendedahkan bagaimana UJSB telahpun melupus 13 saham yang asalnya milik TH ketika harga pasaran berada pada paras yang sangat rendah.

“Sebagai contohnya, 28.48 juta unit saham Icon Offshore Bhd yang didagangkan pada harga purata 25.6 sen pada 2019, telah dilupuskan pada awal Mac 2020 ketika harganya berada pada paras 6.5 sen sahaja.

“Siapakah yang telah memberi izin penjualan saham-saham ini sedangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih belum terbentuk pada ketika itu?

“Bukankah Mujahid melalui surat TH bertarikh 3 Disember 2019 telah mempersetujui agar TH melepaskan ‘First Right of Refusal’ yang membolehkan UJSB menjual 18 aset hartanah milik asal TH kepada pihak ketiga?” soalnya.

Dakwaan Mujahid bahawa TH mengalami defisit RM10 bilion apabila beliau mengambil alih jawatan menteri adalah tidak benar.

“Apabila PH mengubah kaedah perakaunan TH dan menolak kaedah Net Realisable Value (NRV) yang diamalkan pengurusan lama, defisit Tabung Haji setakat 31 Disember 2017 hanyalah RM4.1 bilion.

“Defisit ini membesar kepada RM10.9 bilion pada 31 Disember 2018 iaitu selepas PH membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO sentiasa konsisten dalam tuntutan bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat dan memulihkan semula kedudukan TH ke tahap yang sepatutnya.

“Institusi umat Islam ini sepatutnya dipelihara dan tidak dijadikan bidak catur bagi keuntungan politik sesetengah pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Mnteri Agama ckp telus.. Ko dh knpa nk persoalkn lgi.. Jawatn glc mana jwtan glcccc mnaaa

Comments are closed.