Foto Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka buka sahaja hebat di atas padang sebaliknya turut menjadi ‘juara’ dalam senarai pengikut di laman media sosial berbanding pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga M).

Berdasarkan data yang dikeluarkan kelab berkenaan, JDT yang juga juara Liga Super enam kali berturut-turut sejak 2014 mengumpul 3.6 juta jumlah pengikut di tiga laman sosial utama.

Kelab itu memberitahu memiliki hampir 2.5 juta pengikut di laman Facebook, 900,000 di Instagram dan 217,000 di laman Twitter.

“Pasukan Liga Super Malaysia yang lain seperti Kedah mempunyai pengikut seramai 902,000 pengikut diikuti Selangor dengan 505,000 pengikut dan Perak dengan 180,000 pengikut laman sosial,” kata kelab itu di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

“Jumlah ini sekali gus jauh meninggalkan pengikut laman sosial pasukan lain bukan hanya di Malaysia tetapi juga antara yang tertinggi di peringkat ASEAN.

“Di Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 270 juta, Persib Bandung muncul pasukan paling popular di media sosial dengan 14.9 juta pengikut diikuti Persija Jakarta dengan 6.6 juta pengikut.

“Di Thailand, Muangthong United mempunyai pengikut terbanyak dengan 2.6 juta manakala Buriram United dengan 2.1 juta pengikut. Kelab Filipina, Ceres Negros mempunyai 65,000 pengikut manakala kelab Singapura Home United dengan 26,000 pengikut,” kata kelab yang dimiliki Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.

JDT juga percaya kejayaan mereka di peringkat Asia banyak menaikkan populariti Harimau Selatan dan dengan memiliki laman sosial dwibahasa, ia memudahkan peminat tempatan dan asing memahami kandungan yang disampaikan kelab. – MalaysiaGazette