Sayyed Hassan Nasrallah. foto Agensi

BEIRUT – Pemimpin Hezbollah yang menafikan tuduhan bahawa gerakannya yang disokong Iran mempunyai senjata yang disimpan di pelabuhan Beirut.

Serentak itu, Hezbollah mahu siasatan dilakukan berhubung letupan yang memusnahkan ibu kota Lubnan.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Sayyed Hassan Nasrallah menyebut letupan dahsyat yang berlaku Selasa lalu sebagai “peristiwa luar biasa”.

Lantaran itu beliau meminta semua pihak bertenang dan mengekalkan perpaduan.

Katanya, Hezbollah yang memiliki senjata tahap tinggi akan menjadikan kedudukan politiknya jelas setelah keadaan semakin reda.

Nasrallah menghargai solidariti dan bantuan yang datang dari seluruh dunia, termasuk lawatan Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Kehadiran Macron dapat memberi peluang kepada Lubnan yang berada dalam krisis kewangan.

Pada masa ini para penyelamat masih melakukan kerja-kerja mencari mangsa-mangsa yang masih hidup setelah letupan 2,750 tan ammonium nitrat mengorbankan 154 orang dan mencederakan 5,000 orang.

Tragedi yang cukup tragis itu turut memusnahkan kawasan bandar Mediterranean.

Presiden Michel Aoun berkata, siasatan akan meneliti apakah punca letupan itu – adakah disebabkan kecuaian, kemalangan atau gangguan luar seperti bom.

Namun, pihak berkuasa memaklumkan bahan letupan itu telah disimpan selama bertahun-tahun di pelabuhan dalam keadaan tidak selamat.

Nasrallah – yang puaknya menjadi penyokong besar pemerintah semasa bersama dengan Aoun dan sekutu lain – mempersoalkan mengapa amonium nitrat berada di pelabuhan tersebut.

Israel, yang telah banyak kali berperang dengan Hezbollah merupakan negara musuh Lubnan telah menafikan peranannya dalam letupan itu.

Nasrallah meminta siasatan yang adil untuk mengungkap kebenaran dan pertanggungjawaban yang tegas bagi sesiapa yang bertanggungjawab tanpa sebarang perlindungan politik.

Tegasnya, tentera harus dipertanggungjawabkan untuk menyiasat letpan itu, tanpa menyebut siasatan antarabangsa seperti yang dicadangkan oleh banyak pihak.

Nasrallah, tanpa menamakan sesiapa berkata, beberapa kuasa politik di Lubna dan serantau telah menunding jari terhadap Hezbollah.

”Mereka ingin mengatakan kepada penduduk Beirut bahawa pihak yang menghancurkan rumah dan membunuh anak-anak anda adalah Hezbollah.

“Saya secara tegas menafikan kehadiran peluru berpandu atau apa-apa bahan letupan milik kami berada di mana-mana gudang di pelabuhan,” tegasnya. – MalaysiaGazette