KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk menghapuskan permit eksport yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi pengeksportan industri makanan diproses dan florikultur.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bersetuju untuk menghapus prosedur-prosedur yang tidak perlu untuk eksport membabitkan 524 barangan.

Malah, prosedur ini juga tidak konsisten dengan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017.

“Prosedur ini tidak diperlukan oleh negara-negara pengimport dan perniagaan tidak perlu menanggung RM2.4 juta dan 60,000 jam setahun dalam menjalankan perniagaan mereka,” katanya sambil menyatakan penghapusan beban peraturan itu adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah program MalaysiaMudah atau #MyMudah.

Sejak inisiatif MyMudah dilancarkan pada 20 Julai 2020, MPC menerima beberapa maklum balas dari perniagaan dan salah satunya adalah mengenai syarat yang tidak diperlukan untuk kebenaran eksport.

MPC secara proaktif telah memudah dan memulakan perbincangan awal dengan perniagaan-perniagaan yang terjejas dan pengawal selia yang relevan untuk menganalisis dan memberikan cadangan untuk menyelesaikan masalah ini.

Abdul Latif juga menggesa semua perniagaan untuk terus mengetengahkan masalah peraturan mereka melalui “MalaysiaMudah (#MyMudah) – Mengurangkan Beban Peraturan yang Tidak Perlu untuk Menyokong Pertumbuhan Ekonomi” yang tersedia dalam talian di Portal Perundingan Awam Bersatu (UPC) (upc.mpc.gov .my). – MalaysiaGazette