Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor lelaki yang bertindak agresif memukul seorang pengawal keselamatan di tempat letak kereta sebuah kawasan perumahan di Batu 9, Cheras baru-baru ini ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu berlaku pada 16 Ogos lalu sekitar jam 1.30 petang.

Katanya, pihaknya telah menerima satu laporan polis pada hari yang sama sekitar 5.30 petang membabitkan kejadian seorang lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah ditampar dan juga diugut oleh seorang suspek lelaki tempatan di kawasan perumahan tersebut.

“Semasa kejadian berlaku, pengadu sedang mengunci tayar kereta saspek kerana meletakkan keretanya di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Tiba-tiba telah mangsa didatangi saspek dipercayai pemilik kereta tersebut yang kemudian terus memaki hamun pengadu dengan kata-kata kesat dan menampar muka pengadu.

“Saspek kemudiannya melakukan ugutan mahu mencederakan pengadu serta majikan pengadu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, punca kejadian itu adalah disebabkan saspek tidak berpuas hati dengan tindakan pengadu mengunci tayar kereta miliknya.

Akibat kejadian, pengadu telah dapatkan rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan.

Susulan kejadian itu, katanya sekitar jam 1.30 pagi hari ini, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah menjalankan tangkapan terhadap suspek yang berumur 40-an.

“Saspek yang bekerja sebagai kontraktor telah dibawa dan dihadapkan di Mahkamah Majistret Kajang untuk permohonan reman.

“Mahkamah telah membenarkan suspek direman selama tiga hari mulai hari ini Rabu 19 Ogos ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Azrul Nizam B. Zainal Abidin di talian 016-9985730 untuk membantu kes. -MalaysiaGazette