Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali berucap pada Kongres Negara 2020 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Pembahagian kerusi untuk parti-parti pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan dibincangkan dengan rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN).

Menegaskan menegnai perkara tersebut, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, fokus utama kumpulannya (bekas PKR) yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bersama rakan sekutu dalam parti untuk menentang Pakatan Harapan (PH).

“Itu cadangan sahaja, mana boleh kita ambil semua sebab ini satu gabungan.

“Kita harus ada perbincangan, ada mesyuarat, hormat antara satu parti dengan parti lain dalam gabungan dan inilah kekuatan yang ada dalam PN di mana kita sering bincang dengan rakan dan anggota supaya ada satu konsensus sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Tetapi yang penting 222 kawasan Parlimen ini akan kita tandingi lawan PH,” katanya pada sidang media selepas Kongres Negara 2020 di Mitec hari ini.

Beliau ditanya bagi mengulas ucapannya yang mahu bertanding di semua 222 kerusi Parlimen pada majlis itu.

Menurut Mohamed Azmin lagi, menerusi badan bukan kerajaan NGO pro Bersatu dan PN yang digerakkan dan terdiri daripada Pemuda Negara, Penggerak Komuniti Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara akan terus membantu parti yang mentadbir kerajaan hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai ketiadaan wakil UMNO pada majlis yang dihadirinya hari ini, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, pihaknya sudah menghantar jemputan dan parti itu memaklumkan mereka memberikan tumpuan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

Ujarnya, beliau dan kumpulannya turut akan ke Slim esok bagi membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN).

Ketika diminta mengulas kedudukannya untuk kekal bertanding di Parlimen Gombak selepas akar umbi UMNO, BN dan Pas juga mempunyai calon lain, Mohamed Azmin berkata, perkara itu akan dibincang secara konsensus.

“Sesiapa pun boleh bertanding kalau Pejuang nak masuk Gombak silakan, akhirnya saya serah kepada pengundi Gombak, mereka akan tentukan bukan saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette