Hee Loy Sian

KUALA LUMPUR – Jabatan Perhutanan Selangor dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat lelaki atas cubaan mengambil kayu bakau tanpa kebenaran di Hutan Simpan berhampiran Sungai Kembung, Pulau Indah, Klang semalam.

Operasi penguatkuasaan yang dimulakan sejak Sabtu lalu berjaya mengesan kegiatan kumpulan lelaki terbabit memunggah keluar kayu bakau dari sampan ke tebing sungai berkenaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Hee Loy Sian, operasi itu dijalankan berhampiran Sungai Kembung, Pulau Indah yang disertai empat kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri dan lapan anggota PGA.

Kata beliau, operasi itu bagi menjalankan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti pengambilan kayu bakau tanpa kebenaran di dalam tanah kerajaan dan Hutan Simpan.

“Kira-kira jam 9 malam tadi, pasukan ini telah berjaya menahan empat lelaki yang sedang memunggah kayu jaras bakau dari sampan ke tebing sungai.

“Empat lelaki terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Antara barang kes yang disita bersama empat lelaki itu ialah sebuah sampan fiber, sebuah enjin sangkut mariner 40hp, 200 batang kayu jaras bakau dan tiga motosikal.

Menurut Loy Sian, tiga daripada empat barang kes itu disimpan sementara di Stor Penyimpanan Jentera dan Barang Kes Jabatan Perhutanan Selangor di Sungai Buloh, manakala 200 kayu jaras bakau disimpan sementara di Pejabat Renjer Hutan Pelabuhan Klang.

Katanya, proses lelongan kayu bakau tersebut akan dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Selangor dalam tempoh terdekat ini.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 84 (1) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, iaitu mana-mana orang yang didapati memiliki, menjaga atau mengawal apa-apa hasil hutan yang royalti, premium, ses atau caj lain mengenai hasil hutan itu tidak dibayar melakukan suatu kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun, tetapi tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Loy Sian berkata, kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjalankan aktiviti mengambil kayu bakau tanpa kebenaran dan akan mengambil tindakan tegas mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 sekiranya berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast