Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Seri Noh Omar (tiga dari kanan) menyerahkan cek pembiayaan perniagaan kepada Ahli Lembaga Pengarah Mimoo Act, Wan Nilam Wan Wook (dua dari kiri) ditemani Pengarah Urusan Mimoo Act, Wan Mohamad Khaizul Wan Nilam (kiri) di Mimoo Act Sdn Bhd, Kampung Baru Subang, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2020. foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2020.

SHAH ALAM – Sebuah syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Kampung Baru Subang menerima pembiayaan sebanyak RM2 juta menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Inisiatif khas kerajaan itu diserahkan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Noh Omar kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Mimoo Act Sdn. Bhd., Wan Nilam Wan Wook dalam satu majlis ringkas dekat sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Noh berkata, selaras dengan usaha kerajaan untuk membantu usahawan yang terkesan akibat Covid-19 menerusi PENJANA, PUNB memperkenalkan inisiatif khas yang menawarkan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta.

“Inisiatif khas ini adalah untuk membantu perniagaan usahawan bumiputera yang terjejas kesan daripada penyusutan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

“Kita memperkenalkan inisiatif ini bagi memastikan kemampuan dan kestabilan perniagaan usahawan Bumiputera kembali pulih serta dapat menyesuaikan perniagaan dengan model baharu berikutan perubahan norma pasaran ekonomi dan persekitaran,” katanya.

Noh menjelaskan, pembiayaan itu terbuka kepada semua usahawan PKS yang terlibat dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan, pembuatan dan kejuruteraan, automasi sistem, kesihatan, hospitaliti, penggerak perniagaan dan industri kreatif.

Katanya, pembiayaan dari inisiatif itu boleh digunakan untuk perbelanjaan operasi, automasi sistem, modal kerja dan peralatan serta perbelanjaan untuk melaksanakan amalan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Beliau menjangkakan, inisiatif Pembiayaan Bantuan Bumiputera itu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 200 usahawan PKS di seluruh negara. – MalaysiaGazette