Pengurusi Majlis Syura GASMA, Dr. Abdullah Yasin (tiga kiri) bersama ahli Majlis Syura yang lain hadir pada Majlis Sidang Media GASMA di Tenera Hotel, Bangi. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 26 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Gabungan Ahli As-Sunnah Malaysia (GASMA) menyeru pemimpin Melayu Islam, terutama semua yang mengetuai parti Melayu Bumiputera agar bersatu padu mengukuhkan saf ummah.

Dalam kenyataan bersama Majlis Syura dan Jawatankuasa Eksekutif Pusat GASMA, mereka menyatakan, pemimpin itu harus bekerjasama di bawah ikatan satu payung atau parti bagi membela nasib ummah Melayu.

Katanya, pemimpin itu juga harus mengetepikan soal peribadi dengan bersama menguatkan perpaduan demi agama, bangsa dan negara.

“Seterusnya memastikan pengukuhan kuasa kepimpinan Melayu Islam di negara ini,” kata mereka pada sidang media Perpaduan Kepimpinan Ummah Malaysia di sebuah hotel di Bangi, hari ini.

Dr. Abdullah YasinMajlis Syura dan Jawatankuasa Eksekutif Pusat GASMA diketuai pengerusinya, Dr. Abdullah Yasin; timbalannya, Hussain Yee; Presidennya, Shofwan Badrie; timbalannya, Dr. Ahmad Jailani Abdul Ghani; dan Ahli Majlis, Dr. Johari Mat, Zainal Abidin Malim dan Muhamad Dzahir Abu Bakar.

Sementara itu, Dr. Abdullah berkata, demi kelangsungan kepimpinan ummah negara, GASMA yang mempunyai 110 NGO gabungan, menyeru semua pemimpin Islam berpegang kepada asas kekuatan ummah berdasarkan penyatuan dan perpaduan.

Jelas beliau, mereka juga harus mengikhlaskan setiap keputusan dan tindakan diambil semata-mata kerana Allah.

Katanya, setiap keputusan dan tindakan itu hendaklah mendahului kemaslahatan atau kepentingan umum dari kepentingan peribadi, kelompok atau parti sahaja.

“Walaupun sistem demokrasi amalan berparlimen, tetapi suatu keputusan majoriti tidak semestinya yang betul atau tepat, apatah lagi jika ia bertentangan dengan kepentingan ummah yang berpaksikan kehendak akidah dan maqasid Syariah umat Islam.

“Oleh itu, hendaklah mereka sentiasa taat kepada Allah dan Rasul serta pemimpin yang telah dilantik demi memelihara kuasa kepimpinan ummah Melayu Islam,” katanya.

Dr. Johari Mat

Turut memberi pandangan, Dr. Johari, yang menjelaskan, Melayu akan kuat sekiranya rakyat beragama Islam yang mempunyai cukup umur mengundi, berdaftar sebagai pemilih.

Kata beliau, berdasarkan data, kira-kira 65 peratus orang Melayu di negara ini yang mencukupi umur tidak mendaftar sebagai pengundi.

“Mereka bercakap berdegar-degar mengenai kepimpinan, tetapi tahukah, suara mereka tidak akan didengar selagi mereka bukan pengundi.

“Jadi, saya sarankan orang Melayu, pergilah mendaftar sebagai pengundi. Itu sebenarnya tanggungjawab agama.

“Kalau semua mendaftar, nescaya kuasa perpaduan ummah makin kuat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast