Ros Hanita Mohd Basir

KUALA LUMPUR – Pengorbanan seorang wanita menjaga keharmonian keluarga tidak boleh dinafikan dengan kesabaran, ketabahan dan kecekalannya, kata Naib Ketua Pergerakan Wiranita Putra Malaysia, Ros Hanita Mohd Basir.

Justeru, katanya, pergerakan itu menyambut baik dan menyokong penuh saranan Pertubuhan Pertolongan Wanita yang menggariskan empat perkara yang kerajaan perlu lakukan sempena Hari Wanita Kebangsaan 2020 ini.

Kata beliau, wanita merupakan tulang belakang semua aspek dan sektor, sama ada dari pentadbiran kerajaan, politik, pendidikan, perubatan, perkilangan dan swasta.

Malah, ujar beliau, paling utama ialah sikap keibuan dan kekeluargaan yang menjadi tanggungjawab utama seorang wanita.

“Keperluan wanita terhadap semua aspek ini tidak dapat dinafikan. Tiada wanita yang tidak mampu lakukan apa saja cabaran, malah ada kalanya lebih baik daripada kaum lelaki.

“Ini tidak boleh dinafikan kerana telah terbukti di beberapa negara, wanita lebih ke depan dan ada yang menjadi pemimpin negara.

“Dengan semua penglibatan wanita ini, sudah tentu mereka bersemuka dan terlibat bekejasama dengan pihak yang bukan kaum sejenis seperti lelaki,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menyatakan, kaum wanita yang nampak tenang dan berani itu sebenarnya ‘lemah’ dan mudah dikalahkan, terutama oleh lelaki yang cuba mengambil kesempatan.

Oleh itu, empat perkara dicadangkan pertubuhan itu seperti meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual, menjenayahkan amalan menghendap dalam kanun keseksaan, pindaan akta kerja – masukkan tujuh hari cuti paterniti dan perlindungan diskriminasi ke atas pencari kerja serta bentangkan Belanjawan 2021 yang inklusif harus disokong.

Kata Ros Hanita, Pergerakan Wiranita Putra menyokong dan menerima cadangan pertubuhan itu kerana merupakan yang terbaik dan harus dikaji oleh pihak berwajib dengan mengambil tindakan itu secara serius.

Bahkan, sayap parti Putra itu juga mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menjayakan dan melaksanakan cadangan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast