Ikmaruldin Ishak

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, esok.

Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak berkata, majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, akta memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, SPR turut mengingatkan semua pihak yang bertanding, tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 tengah malam ini.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk merayu undi.

“Tiada mana-mana pihak boleh merayu undi termasuk di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“Kita juga mengingatkan semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi, esok,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Ikmalrudin, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu akan diambil tindakan undang-undang.

Beliau turut menegaskan kepada semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang hendak memasuki pusat mengundi esok tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian.

“Kita berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.

“Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Sementara itu, kata Ikmalrudin, menjelang hari pengundian esok, pihaknya giat menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan proses pengundian.

Semakan itu bagi memastikan semua peralatan atau kelengkapan pengundian Jumaat ini lengkap dan berkeadaan baik.

Katanya, peralatan itu diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi.

“Sebanyak 12 pusat mengundi dan 54 saluran akan dibuka dengan seramai 689 petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok, dan seramai 22,749 pengundi bakal mengundi. Kita berharap semua mereka dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Pengundi juga dinasihatkan keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan dan sekiranya tidak dapat hadir pada masa itu atas sebab tertentu, mereka boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Namun, pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast