Caruman untuk pekerja 60 tahun sudah berkuatkuasa.

KUALA LUMPUR – Menyedari tentang keperluan dan kehendak ahli yang sentiasa berubah, terutamanya dalam persekitaran masa kini yang tidak menentu dan tiada kepastian, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempelawa semua lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020.

Kaji selidik dalam talian yang berlangsung selama lapan minggu bermula 8 Oktober 2020 ini adalah sejajar dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, di samping melindungi simpanan mereka dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

KWSP berharap mendapatkan sebanyak mungkin maklumat yang boleh membantu dalam membangun, menambah baik dan merangka semula skim KWSP yang memenuhi keperluan masa hadapan, kata Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein.

“Kami maklum keperluan ahli berubah mengikut faktor kehidupan semasa, usia atau kemajuan kerjaya mereka. Selain keperluan ahli, landskap pekerjaan dan budaya kerja juga telah berubah dengan penggunaan teknologi dan keadaan ekonomi.

”Justeru, sudah tiba masanya untuk kami mengkaji semula skim KWSP dan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, kami
perlu mendapatkan maklum balas orang ramai.

“Kesejahteraan ahli adalah penting bagi kami dan kami percaya bahawa kaedah terbaik untuk memberi perkhidmatan yang terbaik adalah dengan mendapatkan maklum balas orang ramai, termasuk ahli warganegara Malaysia dan bukan warganegara. Kami ingin tahu pendapat mereka tentang bagaimana KWSP boleh menambaik baik atau memberikan perkhidmatan yang lebih bai,” katanya.

Nurhisham menambah, kali terakhir KWSP melakukan kaji selidik adalah pada tahun 2015 dan ia merupakan rundingan awam terbesar yang pernah dilakukan di Malaysia ketika itu,” katanya.

Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020 bertujuan untuk:
1. Mendapatkan pandangan dan pendapat orang ramai berkenaan Skim KWSP sedia ada dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan
2. Memahami keperluan ahli dan bakal ahli sebelum dan selepas bersara.
3. Memperkukuh aspek hala tuju dan strategi dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap skim KWSP serta produk dan perkhidmatannya.

Nurhisham berkata, kaji selidik ini terbuka kepada semua, sama ada mereka merupakan pencarum KWSP atau tidak.

Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020 ini dibuka hingga 30 November 2020 kepada semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang bekerja di negara ini melalui laman sesawang https://survey2020.kwsp.gov.my – MalaysiaGazette