Prof. Dr. Ismi Arif Ismail

KUALA LUMPUR – Kesedaran terhadap kepentingan pembangunan polisi perlu ditingkatkan dalam kalangan ahli akademik, kata Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail.

Lebih lagi, kata beliau, pihak kerajaan atau autoriti sudah mula beralih daripada menggunakan kepakaran konsultan antarabangsa kepada membuka penyertaan ahli akademik tempatan.

Katanya, satu sumbangan besar yang boleh dilakukan oleh ahli akademik ialah pembangunan polisi.

“Pembangunan polisi bermaksud membangunkan polisi berasaskan penyelidikan yang boleh menjadi dasar kerajaan dan pihak berkepentingan untuk manfaat masyarakat awam.

“Pembangunan polisi masih lagi asing dalam kalangan ahli akademik kerana hanya segelintir kecil yang terlibat dan rata-rata mereka lebih terlibat dalam penyelidikan untuk diterbitkan dalam penerbitan jurnal terindeks.

“Manakala pembangunan polisi diterjemahkan sebagai penerbitan buku atau kertas polisi seperti pelan induk, pelan strategik, pelan tindakan atau blueprint untuk kepentingan awam dan mempunyai impak besar kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, impak penerbitan polisi ini juga memberikan kesan sama hebat sepertimana penerbitan penulisan dalam jurnal terindeks.

Justeru, ujarnya, pengiktirafan sama dari segi merit perlu diberikan oleh pembuat dasar di kementerian dan IPT serta komuniti akademia agar kedua jenis hasil penulisan itu dinilai secara saksama dan menjadi fokus utama penyelidik serta pensyarah dalam menghasilkan sesuatu bermanfaat terus kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Dr. Ismi berkata, persoalan itu bakal dibincangkan dalam Wacana Akademia dan Pembangunan Polisi akan diadakan pada esok, 5 November.

Menurut beliau, wacana itu menganalisis tajuk “Pembangunan Polisi Berasaskan Penyelidikan: Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025”.

“Wacana ini anjuran IPSAS UPM dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) melalui platform Zoom pada 10 hingga 11.30 pagi,” katanya.

Antara barisan panel wacana ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia UKM; Prof. Dr. Badaruddin Mohamed, Universiti Sains Malaysia (USM); dan Prof. Madya Dr. Normaz Wana Ismail dari UPM.

Sesi wacana akan dipengerusikan Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain (UPM).

Wacana siri pertama ini memberi fokus kepada proses pembangunan polisi Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025.

“Pelan ini contoh terbaik pembangunan polisi berasaskan penyelidikan disediakan pasukan panel pakar empat universiti awam yang menyentuh pelbagai bidang kepakaran seperti sejarah, tamadun, bahasa, pendidikan, warisan budaya, ekonomi, pelancongan, politik dan teknologi maklumat.

“Pelan induk ini telah dilancarkan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad pada 8 Oktober lalu dan menjadi dasar kerajaan negeri bagi memartabatkan lagi warisan budaya Johor dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau berkata, selain pelan induk itu, siri wacana berikutnya akan menganalisis pembangunan polisi lain untuk dikongsi bersama dengan ahli akademik dan pihak berkepentingan. – MalaysiaGazette