Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sehingga kini, dianggarkan 97% kes kanak-kanak hilang telah dapat diselesaikan.

Ternyata jumlah ini nampak tinggi, namun statistik PDRM menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 360 orang kanak-kanak masih belum dijumpai, malah kes mereka belum dapat diselesaikan.

Walau seorang anak sekalipun, satu nyawa tetap terlalu berharga dan tidak dapat diukur dari segi wang ringgit.

Dalam kehidupan seharian kita, anak-anak yang bersekolah biasanya tidak mempunyai cara untuk dihubungi secara langsung oleh ibu bapa ketika berada di dalam waktu sekolah; apatah lagi apabila telefon bimbit dan telefon pintar dilarang penggunaannya di sekolah.

Ketika waktu menghantar dan menjemput mereka dari sekolah, mungkin terlepas dari pandangan apakala lokasi kanak-kanak tidak pasti atau tidak diketahui.

Justeru, sebuah syarikat inovasi teknologi milik Bumiputera sepenuhnya telah tampil dengan suatu solusi yang mampu menghilangkan kerisauan ibu bapa mengenai keselamatan dan komunikasi dengan anak-anak bila mereka tiada di sisi kita.

Kizumana adalah solusi yang menggabungkan peranti pintar boleh pakai dalam bentuk “jam tangan kanak-kanak,” iaitu penjejak peribadi dan alat komunikasi dua hala melalui rangkaian selular sedia ada.

Kizumana adalah produk keluaran Adacode Systems Sdn Bhd, sebuah syarikat berstatus MSC yang berpusat di sini.

“Setelah melihat kes-kes kemalangan dan jenayah yang melibatkan kanak-kanak akhir-akhir ini, kami merasa terdorong untuk menjadi titik sentuh pertama dalam infrastruktur yang terhubung untuk menangani masalah keselamatan kanak-kanak.

”Apabila sekolah dibuka semula, kita semua akan terus berjuang agar kekal selamat dalam landskap baharu pandemik Covid-19.

”Kami mahu membantu masyarakat mengharungi normal baharu, lebih-lebih lagi dalam menangani kerisauan ibu bapa dengan memberikan kaedah mudah untuk sentiasa termaklum tentang keberadaan anak mereka sepanjang masa dan juga dapat menghubungi mereka apabila diperlukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Sheikh Raffie Abd Rahman.

Menurutnya, pihaknya komited untuk terus meneroka inovasi di ruang IoT (Internet of Things) atau Internet Bebenda dengan tujuan meningkatkan mutu kehidupan seharian.

Setiap peranti yang diuruskan menggunakan aplikasi mudah alih; boleh dimuat turun dari Google Play Android atau AppStore iOS. Jam tangan Kizumana dikuasakan oleh platform Adamana, yang dibangunkan oleh Adacode Systems.

Peranti berfungsi secara bebas tanpa perlu mempunyai telefon pintar dengan aplikasi berkenaan dalam jarak berdekatan.

Oleh itu, peranti ini dapat dipantau dari mana anda berada seluruh dunia asalkan ada liputan selular. Lokasi peranti diselaraskan melalui GPS / A-GPS, WPS (Sistem Penentududukan Wi-Fi) dan LBS (perkhidmatan berdasarkan lokasi menara sel), sehingga memberikan ketepatan hanya beberapa meter untuk setiap kemaskini lokasi.

Tambahan lagi, peranti ini mampu dilaraskan dengan lima nombor telefon bagi panggilan selular. Ini memastikan bahawa hanya nombor pratetap yang dapat memantau peranti serta berkomunikasi dengannya.

Kizumana juga dilengkapi dengan ciri keselamatan tambahan.

Sheikh Raffie berkata, pada waktu kesusahan atau kecemasan, butang SOS boleh ditekan untuk menghantar penggera kepada setiap ibu bapa yang memantau dengan makluman yang menunjukkan kedudukan lokasi terkini peranti.

Kadar langganan yang ditawarkan ialah RM499, termasuk sambungan talian, peranti dan aplikasi mudah alih selama satu tahun. – MalaysiaGazette