Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysiasedang memuktamadkan tarikh bagi menandatangani perjanjian untuk menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, Covax dengan Global Alliance for Vaccine and Immunisation (GAVI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu selari dengan keputusan Kabinet pada 14 Oktober lepas yang bersetuju agar Malaysia menyertai Covax kerana ia bakal memberi jaminan dalam mendapatkan vaksin kepada 10 peratus populasi rakyat Malaysia.

Katanya, Kabinet turut bersetuju KKM mewakili kerajaan Malaysia dalam memuktamadkan perjanjian penyertaan Malaysia Covax bersama GAVI manakala Jabatan Peguam Negara ditugaskan untuk menyemak terma serta syarat-syarat perjanjian yang ditetapkan GAVI.

“Selepas dibuat proses semakan, Jemaah Menteri telah memutuskan pada 13 November 2020 supaya Malaysia melalui Kementerian Kesihatan memuktamadkan penyertaan dalam Covax Facility dengan menandatangani perjanjian ‘Optional Purchase Arrangement’.

“Buat masa ini, Kementerian Kesihatan dan pihak GAVI sedang memuktamadkan tarikh bagi menandatangani perjanjian ini,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanayaan Ahli Parlimen (PH-Bagan), Lim Guan Eng yang meminta Menteri, Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan sama ada Malaysia menyertai inisatif Covax yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi membolehkan 20 peratus daripada penduduk sesebuah negara menerima dos vaksin Covid-19 dengan vaksin dihantar sebaik sahaja tersedia dan juga membantu membina semula ekonomi.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, keputusan untuk Malaysia menyertai fasiliti itu akan melibatkan kos yang merangkumi bayaran pendahuluan dan ‘risk sharing guarantee’ berjumlah AS$22,656,200 atau secara anggarannya RM94.08 juta.

Ujarnya, jaminan akses awal bekalan vaksin Covid-19 adalah penting untuk melindungi rakyat Malaysia daripada penularan wabak berkenaan.

Katanya lagi, langkah berkenaan juga membantu merancakkan ekonomi negara apabila vaksinasi dijadikan syarat untuk pergerakan dan perhubungan di peringkat global.

“Penyertaan Malaysia di dalam platform multilateral, Covax Facility merupakan pendekatan pelbagai hala yang bakal membuka ruang untuk negara mempelbagaikan pilihan serta mengurangkan risiko daripada memberikan tumpuan kepada kaedah bilateral sahaja dalam pemerolehan vaksin Covid-19,” tambah beliau. – MalaysiaGazette