Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau bukan menghasut atau mempermainkan rakyat apabila terus memperjuangkan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium pinjaman sebagai syarat untuk Barisan Nasional (BN) menyokong Belanjawan 2021.

Sebaliknya, isu-isu itu adalah permintaan rakyat yang sedang dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19 dan beliau hanya menyuarakannya di dalam Dewan Rakyat.

Jelas beliau, hanya rakyat yang memahami kesusahan mereka ketika ini, lantaran itu percaya rakyat akan memikul tanggungjawab untuk menggunakan wang ini secara berhemah dan akan bekerja dengan lebih gigih untuk menggantikan pengeluaran usia tua mereka apabila keadaan pulih.

Lagipun, kata bekas Perdana Menteri itu, rakyat bukan bodoh untuk tidak memahami implikasi daripada pengeluaran RM10,000 ini.

“Apa yang saya dapat jika kedua-dua syarat ini dilaksanakan kerajaan? Ini bukan syarat untuk teruskan projek kerajaan bagi kroni saya atau untuk saya. Pernahkah saya suruh Rakyat untuk tolak kerajaan PN jika kedua-dua syarat ini tidak dibuat?,” soal Ahli Parlimen Pekan ini.

Tambahnya, kerajaan pernah memberikan pengeluaran KWSP melalui skim i-Lestari dan memberi moratorium enam bulan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan.

Persoalannya, walaupun PKP Bersyarat dilanjutkan berulang kali tetapi mengapa kemudahan-kemudahan berkenaan tidak dilanjutkan.

Lagi pelik, kata Najib, apabila cadangan pengeluaran RM10,000 diminta tanpa bersyarat bagi semua tapi yang diberi oleh KWSP ialah pengeluaran RM60,000 dengan syarat amat ketat, seolah-olah mereka yang lebih kaya diutamakan, rakyat yang tertekan disingkirkan.

Najib yang pernah menjadi Menteri Kewangan menambah, beliau telah menggariskan bagaiman kerajaan boleh melaksanakan kedua-dua langkah ini tanpa memberi implikasi besar kepada kewangan kerajaan atau defisit bajet serta bagaimana untuk pulihkan simpanan KWSP.

“Sehingga kini, tiada seorang pun yang pernah sangkal langkah-langkah yang saya beri itu tidak boleh dilakukan. Jika dulu boleh dilaksanakan, kenapa tidak boleh dibuat semula sedangkan KWSP ada aset RM940 bilion dan semua bank-bank yang mengaut keuntungan berpuluh bilion setahun pada tahun-tahun lepas masih catat keuntungan pada tahun 2020 yang amat susah ini?

”Sehingga kini, tiada seorang pun yang pernah menjawab soalan saya bagaimana bajet 2021 untuk lawan Covid yang cuma 2.5% lebih tinggi berbanding bajet 2019 (yang tiada Covid) bawah Pakatan Harapan mampu menyelamatkan negara.

”Dan sehingga kini, tiada seorang pun yang pernah jawab soalan saya bagaimana bajet 2021 boleh menyelamatkan ekonomi negara memandangkan 4 skim utama kerajaan bagi tahun 2020 ini seperti moratorium pinjaman, i-lestari, Program subsidi Upah dan bayaran bantuan prihatin telah ditamatkan atau banyak dikurangkan pada tahun depan,” hujahnya.

Oleh sebab itu, kata Najib, dana yang disuntik oleh kedua-dua langkah itu mampu membantu merancakkan ekonomi dan akan menyelamatkan ramai pekerja.

“Saya bukan tidak ada pengalaman atau tak faham hal-ehwal ekonomi Malaysia sebab kadar pertumbuhan ekonomi dan dividen KWSP juga antara paling tinggi sejak 20 tahun lalu pada tempoh saya PM dan menteri kewangan.

”Jika sesiapa boleh sangkal apa yang saya tulis di atas, barulah ianya adil untuk kamu tuduh saya sedang menghasut atau mempermainkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Mesti ada yg tk betul dlm KWSP ni samapai tk berani nk bagi kebenaran pengeluaran akaun 1 walau dlm keadaan mendesak..cuba SPRM tolong siasat perkara ini.

Comments are closed.