KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak ada masalah menunaikan saranan pembangkang supaya Dewan Rakyat diperuntukkan masa lebih panjang bagi sesi perbahasan dan penggulungan Belanjawan 2021.
Bagaimanapun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Takiyuddin Hassan, oleh kerana ada kekangan pandemik Covid-19, Dewan Rakyat terpaksa mengehadkan masa persidangan sebagaimana disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).
Kata beliau, kekangan wabak Covid-19 itu bukan alasan Dewan Rakyat, sebaliknya nasihat dan saranan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah
“Saya boleh bersetuju kalau kita memperuntukkan masa yang panjang kerana banyak perkara hendak dinyatakan oleh pembahas dan Menteri untuk menggulungnya, tetapi oleh kerana ada kekangan Covid-19, sidang terpaksa dipendekkan.
“Ini bukan alasan. Dewan Rakyat bukan saja-saja beri alasan tak bersesuaian. Ini adalah saranan dari KKM (Ketua Pengarah Kesihatan),” katanya pada sidang Parlimen di sini, hari ini.
Takiyuddin turut mengakui Menteri juga mengeluh kerana masa diperuntukan selama 20 minit untuk menjawab dan menggulung tidak mencukupi, tetapi mereka akur kerana itu adalah peraturan ditetapkan dalam keadaan sekarang.
Beliau kemudian memberi jaminan, jawapan Menteri termasuk yang tidak sempat dijawab akan dimasukkan dalam hansard dan dimuatnaik dalam portal Parlimen.
“Sebaik Menteri habis menggulung, segala teks yang tidak habis dijawab akan dimuatnaik dalam portal Parlimen, manakala masalah hansard tidak timbul kerana yang tidak sempat dihabiskan (jawab) oleh Menteri, akan dimuatnaik dalam portal,” katanya. – MalaysiaGazette

















Covid 19 ni mnyerang ikut masa jugak ke?