Gambar hiasan

TAHNIAH diucapkan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewujudkan inisiatif Wakaf Air melalui Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

Wakaf Air bertujuan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat, sama ada individu, syarikat swasta atau mana-mana pihak yang ingin bersama-sama menyumbang dalam pengurusan infrastruktur bekalan air kepada rakyat.

Sumbangan tersebut boleh mengikut kemampuan masing-masing dan memberi peluang kepada seluruh rakyat untuk berbakti kepada masyarakat dan sebagai orang Islam, ia dapat dijadikan saham akhirat kepada penderma.

Ciri utama Wakaf Air ialah menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai daripada individu atau syarikat dengan niat untuk mewakafkan air, mengurus sumbangan dana berdasarkan ruang lingkup yang ditetapkan.

Berbeza dengan Tabung Harapan yang ditubuhkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan tanpa pelaksanaan yang jelas, sumbangan Wakaf Air ini diuruskan oleh pihak bertanggungjawab iaitu Yayasan Wakaf Malaysia dan digunakan dengan tujuan yang jelas, iaitu pengurusan bekalan air, terutama di luar bandar.

Pelaksanaan Wakaf Air akan melibatkan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan keperluan bekalan air terawat dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Menariknya, projek Wakaf Air akan diagihkan kepada golongan sasar terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam kerana konsep wakaf adalah bersifat manfaat umum dan boleh dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama.

Ini adalah lambang keindahan Islam melalui ibadah wakaf dan lambang perpaduan antara kaum di Malaysia melalui konsep Bangsa Malaysia. Apabila bekalan air disalurkan di sesuatu kawasan melalui projek Wakaf Air, penduduk setempat tanpa mengira bangsa dan agama dapat menikmati anugerah air tersebut.

Wakaf merupakan suatu platform yang menjadi tulang belakang bagi ketamadunan dan peradaban dunia Islam. Terbukti melalui sejarah dunia dan sejarah ketamadunan Islam, sistem wakaf telah membangunkan pelbagai prasarana untuk kesejahteraan masyarakat dari sudut kerohanian, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kelestarian.

Antara wakaf terawal di kalangan sahabat Rasullah adalah wakaf perigi dan kebun kurma oleh Saidina Uthman bin Affan yang menjadi model wakaf lestari di dalam sesebuah petempatan masyarakat majmuk.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna SPAN, kita berpandangan bahawa langkah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memperkenalkan Wakaf Air (Tabung Wakaf Air Nasional) adalah satu usaha yang baik bagi menghidupkan amalan kelestarian di kalangan masyarakat, terutamanya apabila negara menghadapi krisis kekurangan bekalan air.

Langkah KASA ini juga selari dengan hasrat Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 64/292 yang memberikan pengiktirafan terhadap kepentingan mendapatkan bekalan air bersih untuk sumber minuman dan sanitasi sebagai hak asasi sejagat, untuk membekalkan air bersih, selamat dan mampu-milik untuk semua.

Untuk sebarang maklumat mengenai perkhidmatan air di negara kita, bolehlah mengemukan cadangan atau aduan kepada [email protected]. Maklumat semasa juga boleh didapati menerusi semua saluran komunikasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) termasuk Twitter, Facebook, Instagram.

Shahir Adnan

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna SPAN, Shahir Adnan