Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Operasi Benteng secara bersepadu di sempadan negara menyaksikan seramai 51 pendatang asing tanpa izin berjaya ditangkap kerana menceroboh masuk ke dalam negara menerusi laluan perairan secara haram.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tangkapan itu dilaksanakan menerusi Ops Benteng melibatkan Polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu.

“Itu antara usaha habis-habisan anggota keselamatan memastikan perairan tidak dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan
selain menyekat penularan wabak Covid-19.

“Semalam (11 Disember 2020), Operasi Benteng telah berjaya menahan 51 PATI, seorang tekong.

“Pasukan keselamatan juga berjaya merampas enam kenderaan darat dan dua bot dan kapal,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian pelaksanaan PKP hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Bera itu berkata, sebanyak 125 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam.

Mengikut pecahan katanya, Op Penawar membabitkan ATM, PDRM dan Rela melaksanakan sebanyak 55 sekatan jalan.

“Manakala sebanyak 61 sekatan jalan raya dilaksanakan menerusi Op Benteng membabitkan PDRM dan sembilan sekatan jalan membabitkan Op Benteng Aksem.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pati yang dah berjaya membolosi sempadan dah berselerak cari makan haram jadah bebas cukai tanpa Operasi Dalaman Imigresen setiap hari.

Comments are closed.