Gambar hiasan

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat fardu, solat Jumaat dan aktiviti di masjid, surau dan musolla di negeri ini beroperasi selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa 21 Dis ini.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun, pengoperasian rumah ibadat serta aktiviti ibadat itu perlu mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Beliau berkata, kebenaran itu termasuk surau dan musolla yang berada di beberapa kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini.

“Kawasan-kawasan berkenaan adalah di Penggawa Kubang Kerian, Penggawa Kusial Tanah Merah dan Madrasah Ad-Diniah Kampung Huma, Pasir Puteh dibenarkan beroperasi.

“Selain itu, bagi arahan penutupan surau dan musolla yang terletak dalam kluster Mengketil dan kawasan Istana Negeri Kubang Kerian juga dibenarkan beroperasi mengikut garis panduan PKPP,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, perkara tersebut mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan agar solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid, surau dan musolla dibenarkan mengikut garis panduan PKPP bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negeri itu.

Tengku Mohamad Rizam berkata, MAIK mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan itu.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin selain terus berdoa agar segala usaha dan langkah yang diambil akan diperkenankan oleh Allah SWT supaya wabak COVID-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh-Nya,” tambah beliau. – Bernama