Anggota penyelamat membuat rondaan di kawasan bot penumpang yang karam.

KUALA LUMPUR – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) untuk mencari mangsa bot nelayan karam di Pulau Perhentian dipertingkatkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, aset-aset strategik milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia seperti kapal maritim KM AMAMAH, bot laut KILAT 28 dan pesawat udara AW139 telah dikerahkan ke lokasi kejadian bersama asetaset milik agensi kerajaan yang lain daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Taman Laut (JTL).

“Kementerian Dalam Negeri akan terus memantau situasi tersebut dengan rapat dari semasa ke semasa dan menyelaras SAR secara bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan.

Tengah hari semalam dilaporkan lima nelayan tempatan termasuk seorang tekong dikhuatiri hilang setelah bot dinaiki mereka dipercayai karam dalam kejadian di perairan Pulau Perhentian.

Dipercayai akibat bot mereka mengalami kebocoran dan dimasuki air serta dipukul ribut akibat cuaca buruk.

Katanya, mangsa yang dikhuatiri hilang adalah dua beranak iaitu tekong bot, Tuan Azaha Tengku Long @ Mansor, 46, dan anak lelakinya dikenali sebagai Mat Rizal, 21, dari Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan.

Sementara, tiga lagi awak-awak dikenali sebagai Mamat, 24, dari Tok Bali, Kelantan; Sakri, 30, dari Pasir Puteh, Kelantan; dan Ujang, 30, dari Penarik, Setiu.

Sejak SAR oleh Maritim Tok Bali dan anggota polis Pulau Perhentian dimulakan pada 7.45 malam semalam. – MalaysiaGazette