Gambar hiasan.

PASIR MAS – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyangkal dakwaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub yang menafikan aktiviti pembalakan di negeri itu sebagai punca menyebabkan banjir teruk.

Ketua Putra Bahagian Pasir Mas, Ir. Suharto Mat Nasir berkata, kerajaan Pas Kelantan langsung tidak mengambil iktibar dari kejadian banjir paling buruk melanda negeri itu pada 2014.

Ujarnya, bencana buruk itu berlaku disebabkan aktiviti penebangan balak secara berleluasa dan tidak terkawal untuk projek Ladang Rakyat yang diperkenalkan di zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi.

“Mengikut laporan Ketua Audit Negara tahun 2019, pendapatan kerajaan Kelantan dari permit dan lesen perhutanan bertambah 390 peratus berbanding tahun 2018 kerana peningkatan pengeluaran lesen pembalak,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ir Suharto Mat Nasir
Ir Suharto Mat Nasir

Khamis lalu, Ahmad Yakub dilaporkan berkata, penerokaan hutan tidak terkawal bukan punca utama menyebabkan berlaku gelombang ketiga banjir besar di negeri ini.

Beliau sebaliknya berkata, bencana alam itu berlaku disebabkan hujan lebat, malah aktiviti penerokaan hutan untuk pembalakan dijalankan secara terkawal.

Sambil menyamakan Kelantan dengan beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir, Ahmad Yakub juga tidak mahu musibah yang berlaku itu hanya difokuskan kepada negeri itu sahaja.

Mengulas lanjut, Ir Suharto yang juga seorang jurutera profesional berkata, dari segi kejuruteraan ilmu alam, hutan merupakan kawasan tadahan air.

Katanya, fungsi hutan ialah untuk membolehkan air hujan meresap ke dalam tanah dan menghalang mengalir ke sungai secara terus.

“Apabila hutan ditebang, air hujan akan mengalir deras bersama tanah hakisan ke dalam sungai. Tanah hakisan menyebabkan sungai menjadi cetek, manakala air hujan yang banyak dan laju mengalir menyebabkan sungai melimpah dan terjadi banjir.

“Ini yang berlaku pada tahun 2014, apabila air hujan sepanjang sungai turun deras menyebabkan berlaku pertembungan dan gelombang besar yang menghanyutkan rumah,” ujarnya.

Beliau menyeru kerajaan Kelantan menghentikan pengeluaran lesen pembalak dan mencari alternatif lain untuk nenambah pendapatan negeri. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kelantan sejak zaman Datok Moyang aku lagi dah banjir bila hujung tahun, tak akan lah dari dulu lagi isu pembalakan kot. Janganlah nak malu kan geng-geng title IR, pergi lah buat kajian secukupnya dengan kaji cuaca.

Comments are closed.