Sekatan Jalan Raya dijalankan untuk kawalan rentas negeri dan daerah.

LUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil langkah betul apabila mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) mulai tengah malam ini hingga 26 Januari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil kerana kerajaan memandang serius fenomena penularan Covid-19 yang mencatat angka empat digit.

Katanya, atas keutamaan keselamatan rakyat dan memastikan penularan dapat diminimumkan, kerajaan melaksanakan PKP di negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi seperti Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Johor, Melaka dan Sabah.

“Dengan pelaksanaan tiga perintah ini, pergerakan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan di seluruh negara selama tempoh dua minggu ini.

“Sebelum ini kerajaan melonggarkan peraturan, tetapi apabila angka positif Covid-19 naik, rentas negeri tidak lagi dibenarkan, sama ada di kawasan PKP, PKPB dan PKPP, kecuali dengan kebenaran polis,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP di beberapa negeri, bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Selain PKP, antara negeri yang dilaksanakan PKPB ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala PKPP dikuatkuasakan di Perlis dan Sarawak.

Mengenai mereka yang pulang ke kampung, tetapi belum sempat balik ke negeri tempat bekerja, Ismail Sabri berkata, kerajaan menerusi polis memberi kelonggaran sehingga Jumaat ini untuk semua mereka pulang.

Katanya, Sekatan Jalan Raya (SJR) mulai dijalankan pada malam esok dan selepas berbincang dengan polis, ada kes tertentu diberikan kelonggaran seperti mereka yang sudah membeli tiket penerbangan dan bas.

“Kita tidak batalkan penerbangan, mereka boleh teruskan. Begitu juga bas ekspres, kelonggaran ini diberikan kepada mereka yang ada sebab tertentu seperti melawat keluarga sakit dan sebagainya.

“Saya nasihatkan yang berada di kampung, pulang segera, paling lewat Jumaat ini. Selepas itu penguatkuasaan agak tegas dan tiada kelonggaran lagi,” katanya. – MalaysiaGazette