Tiga menteri ini langsung tidak campur tangan isu politik, sebaliknya menumpukan usaha menyelamatkan nyawa rakyat dari wabak Covid-19.

KUALA LUMPUR – Tiga menteri yang bertungkus lumus bekerja siang malam memastikan rakyat dan negara selamat dari wabak pandemik Covid-19, wajar dinobatkan sebagai wira.

Aktivis politik, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, mereka ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut beliau, walaupun tiga menteri ini mempunyai jawatan dalam parti, tetapi mereka sebolehnya tidak terlibat dalam keberantakan politik dalaman parti.

Sebaliknya, mereka secara konsisten memfokuskan usaha menyelamatkan nyawa rakyat dari terus dicengkam dengan serangan virus Covid-19.

Wan Khairul Ihsan

“Pada pemerhatian saya sepanjang keberantakan politik dalam UMNO, mereka tidak pernah membuat sebarang kenyataan politik kepartian. Mereka hanya secara konsisten menumpukan usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

“Inilah wira sebenar yang tidak didendangkan oleh rakyat mahu pun rakan dalam parti. Mereka habiskan masa untuk menyelesaikan keperluan mendesak vaksin agar seluruh rakyat dapat diberikan keselamatan kesihatan yang terjamin,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette, di sini, hari ini.

Wan Khairul Ihsan berkata, tiga menteri ini adalah dari Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, mereka diberi jawatan penting untuk mengepalai usaha memerangi pandemik Covid-19 dan pasca pandemik itu, termasuk memastikan rakyat mendapatkan vaksin dalam kadar segera.

“Mereka juga Ahli Parlimen yang telah menaikkan nama UMNO dan BN sebagai menteri yang cukup berkualiti jika dibandingkan dengan tahap serta pengalaman menteri zaman Pakatan Harapan (PH).

“Namun, ada rakan dalam parti mereka memandang sinis ketiga-tiga wira ini kerana dilihat fokus kepada kerja menteri, dan langsung tidak memberikan ulasan berkaitan politik serta polemik kepartian.

“Ada juga rakan dalam parti melihat wira ini seolah selesa dengan kerusi empuk dalam kerajaan, tetapi hakikatnya, mereka ini setiap hari dan waktu bekerja keras memastikan vaksin berjaya dibawa masuk dan diberikan kepada rakyat secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, dalam kekangan masa dan usaha yang amat terhad disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, cahaya harapan rakyat semakin dekat untuk direalisasikan oleh kerajaan dengan mempercepatkan proses mendapatkan vaksin ke negara ini.

Ini menurutnya, termeterai apabila semalam, satu perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia melalui PharmaNiaga Berhad iaitu anak syarikat Boustead Berhad telah ditandatangani dengan Sinovac dari China.

Katanya, beliau difahamkan, sebulan selepas tarikh MoU itu, Sinovac akan membuat penghantaran vaksin fasa pertama kepada Malaysia melalui PharmaNiaga Berhad.

“Apabila vaksin mula diberikan kepada rakyat, maka kes baharu akan mula berkurangan dan negara menuju ke arah satu kejayaan dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Tahniah kepada tiga wira negara ini, kerana mementingkan nyawa dan kesihatan rakyat mendahului segala politik kotor serta gila kuasa peribadi sesetengah pihak.

“Kami bangga dan terus akan menyokong wira ini demi melakukan segala kebaikan dan meraikan kejayaan bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Ko kena sedar, kalau bukan atas tiket UMNO…atau UMNO tu lemah mcm Gerakan ker..dapat ke mrk ni jadi menteri? Yg kedua, dah memang kerja mereka, maka kena lah buat…lain lah kalau mereka tu menteri kebudayaan tp buat kerja berkaitan keselamatan..apa lah..nak membodek pun cari cara lain laaa

  2. Chinese Covid-19 Vaccine Far Less Effective Than Initially Claimed In Brazil, Sparking Concerns?

    Boleh tak rakyat buat pilihan kalau tidak mahu gunakan vaksin buatan China? Tanya je!

  3. Ceh.. tak setuju lgsg dengan pilihan ni. Diorg ni menteri. Yg paling layak jd wira ialah Bang Non, Mat Jahid, Mat Puad, Mat Nazri, Mat Maslan dan Lim Dong Dong Ceng lah.
    Diorg semua takda jawatan tp sanggup berjuang utk batalkan darurat sbb sayangkan rakyat. Berjuang bg ada PRU15 dlm masa Covid dan banjir sbb prihatin kat rakyat. Mana mau cari oi pemimpin bermoral dan pandai urus duit serta punya PHD cam diorg ni. Ingat pakcik mesin kelapa punya level ka diorg ni.

Comments are closed.