Pengerusi Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor, Datuk Nozhar Che Noor bercakap pada sidang media mengenai memohon rayuan operasi semula perniagaan pasar malam di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 JANUARI 2021.

KAJANG – Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Selangor menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan peniaga pasar malam beroperasi seperti biasa di seluruh kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, Datuk Nozhar Che Noor berkata, kebenaran itu perlu diberikan seperti PKP pertama pada Jun tahun lalu susulan kesemua peniaga dan penjaja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Kluster pasar malam tak wujud. Ini kerana penyelaras atau pengurusan pasar malam mengikut semua arahan dan SOP kerajaan. Sebab itu tidak timbul kes atau kluster dalam pasar malam.

“Apa perlunya tutup operasi pasar malam kalau peniaga dan penjaja mampu mengekang penularan wabak Covid-19 sepanjang operasi pasar malam sejak Jun tahun lepas,” katanya pada sidang media di pejabat IKHLAS Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nozhar mempersoalkan tindakan kerajaan yang menghadkan waktu operasi perniagaan sehingga jam 8 malam sahaja.

“Kalau kerajaan pertimbangkan semula waktu operasi semua perniagaan, dari 6 pagi hingga 10 malam bagi membantu peniaga-peniaga kecil yang terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP,” katanya.

Untuk memastikan pasar malam dapat beroperasi semula, beliau sedia mempertimbangkan waktu operasi dihadkan lebih pendek berbanding waktu biasa.

“Arahan PBT sebelum ini untuk pasar malam dari 5 petang sehingga pukul 10 malam. Operasi kita sebelum ini lebih awal dari pukul 4 hingga 10 malam.

“Kemudian PBT menetapkan operasi pasar malam dari jam 5 petang sampai pukul 10 malam. Tapi lepas jam 9 malam, tiada orang lagi.

“Kalau boleh operasi pasar malam mula awal pun tak apa, asalkan pasar malam dapat beroperasi semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette