Deretan pesawat Airbus A380 milik Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Malaysia Aviation Group (MAG) telah berjaya mendapat kelulusan Mahkamah UK untuk meneruskan komponen utama dalam penstrukturan semula hutangnya, berikutan impak pandemik COVID-19 terhadap industri pelancongan di peringkat global.

MAG dalam satu kenyataan berkata, anak syarikat penyewaan pesawatnya, MAB Leasing Ltd (MABL), pada 23 Disember tahun lepas telah mengeluarkan Surat Penyata Amalan kepada kumpulan pemiutangnya yang memaklumkan mereka mengenai hasrat syarikat bagi memfailkan skim pengaturan di bawah Bahagian 26 Akta Syarikat UK 2006.

Sidang perbicaraan diadakan pada 20 Januari 2021 dan mahkamah telah memberi kelulusan kepada MABL untuk mengadakan mesyuarat pemiutang bagi mempertimbangkan skim yang dicadangkan itu.

Keputusan mesyuarat dengan pemiutang akan beritahu kepada mahkamah pada perbicaraan yang ditetapkan menjelang 22 Februari depan.

“Adalah dijangkakan proses Mahkamah UK dan langkah penstrukturan semula kumpulan yang lebih luas akan dimuktamadkan menjelang akhir suku pertama tahun ini,” kata MAG, syarikat induk Malaysia Airlines Bhd dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MAG telah mengadakan perbincangan aktif dengan semua pihak berkepentingan utamanya dan telah berjaya mendapatkan sokongan bagi melaksanakan penstrukturan semula selepas banyak pusingan rundingan yang sengit. Bagaimanapun, masih terdapat minoriti kecil pemiutang yang masih belum menunjukkan sokongan mereka terhadap penstrukturan semula ini. Oleh itu, sebahagian daripada penstrukturan semula yang dibuat akan dilaksanakan dengan skim pengaturan yang akan dicadangkan oleh MABL.

MAG akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan agar semua urusan sedia ada boleh diselesaikan secepat mungkin.

Sepanjang proses ini, MAG terus memenuhi tugasnya sebagai syarikat pesawat kebangsaan bagi memastikan kesalinghubungan udara domestik dan antarabangsa termasuk ke kawasan luar bandar berjalan, ini merangkumi sokongan ke atas rantaian bekalan nasional yang penting.

Dijangkakan bahawa operasi harian dan aktiviti syarikat penerbangan utama, Malaysia Airlines termasuk semua subsidiari di bawah MAG tidak akan terjejas oleh penstrukturan semula ini.

Kumpulan terus komited terhadap keseluruhan ekosistemnya termasuk pelanggan, pembekal dan pihak berkepentingan yang lain serta mahu memastikan bahawa langkah penstrukturan semula ini dijalankan secara adil dan telus.

Penstrukturan semula ini dibuat berdasarkan pelan perniagaan jangka panjang yang disemak semula dan akan membuka jalan kepada syarikat bagi memastikan kemampanan jangka panjangnya, bersama-sama dengan sokongan padu daripada pemegang sahamnya dan majoriti besar pemiutangnya.

Awal tahun 2020 telah menyaksikan kumpulan beroperasi dengan baik, yang mana, program pemulihan syarikat berada di landasan yang betul.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 telah menyebabkan momentum itu terhenti. Dengan sempadan ditutup dan pesawat tidak bergerak, industri penerbangan terjejas dengan teruk dan pemulihan penuh dijangka hanya berlaku pada 2023.

MAG terpaksa mengambil tindakan drastik bagi mengurangkan kos, berjimat, mengubah perniagaan dan menyelaraskan aspirasi jangka panjang untuk mengharungi krisis ini.

Pada September 2020, dengan trafik udara masih pada tahap terendah sepanjang masa, ditambah pula dengan ketidaktentuan berterusan di sekitar pemulihan industri, adalah jelas bahawa kumpulan perlu mengambil keputusan yang sukar untuk memulakan langkah penstrukturan semula yang holistik, bertujuan menyusun semula perniagaan dan muncul kembali bagi menjana keuntungan dalam jangka masa panjang sebagai pembawa bendera Malaysia dengan pegangan yang kukuh di Asia Pasifik dan model penerbangan jarak dekat ASEAN yang lebih baik. – Bernama