Mustaffa Idrus (kanan) menyerahkan surat memohon siasatan kepada Mustafa Kamal.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Kedah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu menyiasat pendedahan seorang lelaki mendakwa akan mengusahakan projek tanaman durian Musang King di kawasan seluas kira-kira 30,000 ekar di Gunung Inas, Baling.

Pengerusi Perhubungan Putra negeri, Datuk Mustaffa Idrus bersama Timbalannya, Datuk Fadzil Hanafi menyerahkan surat permohonan siasatan mengenai perkara itu kepada Timbalan Pengarah SPRM Kedah, Mustafa Kamal Ahmad di pejabatnya, hari ini.

Dalam surat itu, Putra Kedah mahu SPRM menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas syarikat serta individu terbabit jika terdapat pelanggaran undang-undang dan peraturan berkaitan pemilikan tanah.

Katanya, beberapa aspek perlu diambil maklum oleh pihak berkuasa, seperti apakah status tanah tersebut dan adakah ia milik kerajaan negeri atau swasta.

“Aspek lain ialah apakah terdapat unsur rasuah dalam pemberian hak milik tanah tersebut, adakah pemberian hak milik tanah tersebut kepada syarikat berkenaan mengikut prosedur yang betul atau adakah terdapat salah guna kuasa dalam proses pemberian hak milik tanah berkenaan.

“Kita minta SPRM menjalankan siasatan secara telus, amanah, adil dan bertanggungjawab atas perkara itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video mengenai seorang lelaki mendakwa sekurang-kurangnya 12,140 hektar tanah bukit di Gunung Inas sedang dibangunkan sebagai ladang durian, yang kononnya terbesar di dunia.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md. Nor telah mengarahkan projek itu dihentikan pada Julai tahun lalu dan meminta laporan penuh keadaan semasa di kawasan itu, daripada semua agensi terlibat bagi menyiasat dakwaan bahawa wujud ladang durian terbesar di kawasan berkenaan.

Pada Julai tahun lalu, sebulan selepas mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH), sempena Mesyuarat Exco Kerajaan negeri yang diadakan di Baling, Muhammad Sanusi mengarahkan projek tanaman durian yang didakwa menyebabkan banjir itu dihentikan.

Katanya, dasar kerajaan negeri adalah jelas, iaitu setiap peraturan mesti dipatuhi, pelanggaran undang-undang tidak boleh dikompromi dan kepentingan rakyat mesti didahulukan.

Menurut Muhammad Sanusi, projek ladang hutan mesti ditanam spesies yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan dan durian tidak termasuk spesies itu.

Bagaimanapun, Jabatan Perhutanan membenarkan 20 peratus keluasan yang diluluskan, ditanam dengan spesis buah-buahan dan pada masa itu (Julai 2020), dilaporkan 2,000 ekar sudah pun ditanam durian Musang King. – MalaysiaGazette