Bob Mah Sing dan rakannya yang ditahan semalam direman 4 hari sehingga 2 Mac ini untuk membantu siasatan polis selepas terlibat insiden merempuh kenderaan awam dan lari dari pemeriksaan polis dari Gombak ke Sungai Buloh semalam.

PETALING JAYA – Dua penjenayah yang bertindak ganas merempuh beberapa buah kenderaan sebelum meloloskan diri dari polis selepas ditembak di bulatan Sierramas, Sungai Buluh semalam akhirnya direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 40 tahun itu direman sehingga 2 Mac ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Pagi tadi kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan berjaya mendapat reman selama sempat hari untuk disiasat lanjut.

“Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek berkenaan juga mendapati mereka disahkan positif dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya tengahari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam, kedua-dua suspek yang enggan bekerjasama memberhentikan kenderaan Proton Waja yang dinaikinya untuk diperiksa polis memecut laju ke arh Sungai Buloh.

Mereka dikejar polis sebelum terperangkap dalam kesesakan di lampu isyarat bulatan Sierramas, Sungai Buloh.

Kedua-dua penjenayah itu berjaya dikepung di Sierramas sebelum kedua-dua anggota itu meminta suspek keluar dari kenderaan.

Namun suspek berani menekan pedal minyak sekuat-kuat dan melanggar beberapa kenderaan lori dan Perodua Myyvi yang menunggu di lampu isyarat itu.

Penjenayah juga cuba merempuh kenderaan MPV Polis.

Salah seorang anggota terpaksa melepaskan tembakan pada kedua-dua tayar hadapan kereta suspek.

Namun penjenayah berjaya meloloskan diri ke arah Jalan Kuala Selangor – Sungai Buloh sebelum memberhentikan kenderaannya di tepi jalan kerana kebocoran tayar.

Tindakan pantas Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit anjing pengesan (K9) kemudian berjaya menemui dadah jenis heroin seberat kira-kira 1.7 gram di dalam kereta suspek.

Susulan itu, pada hari yang sama, suspek pertama berjaya diberkas jam 6.30 petang manakala suspek kedua bernama Bob Mah Sing yang dib uru telah ditangkap sekitar 11.45 malam.

Nik Ezanee mendedahkan, suspek yang memandu Proton Waja itu didapati memiliki enam rekod jenayah dan 14 rekod dadah manakala rakannya mempunyai lapan rekod lampau kes dadah.

Terdahulu, video insiden berkenaan berdurasi seminit 45 saat itu tular di media sosial semalam.-MalaysiaGazette