Seorang wanita cuba membunuh diri untuk terjun dari bumbung jejantas Stesen Monorail Jalan Maharajalela hari ini.- Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat.-Ihsan BOMBA KL

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita yang nekad mahu terjun dari jejantas stesen monorail Jalan Maharajalela pagi tadi dipercayai berpunca daripada tekanan perasan akibat masalah rumah tangga.

Wanita berkenaan juga telah bertindak mengacu pisau ke arah anggota pasukan Bomba dan Penyelamat yang cuba menyelamatkannya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati wanita berusia 39 tahun itu dilanda masalah dengan suaminya sehingga mengalami tekanan perasaan dan mahu membunuh diri.

Katanya, petugas bertugas Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menerima maklumat tentang kejadian itu kira-kira 8.46 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi bersama anggota Bomba dan Penyelamat yang kemudian berjaya memujuk wanita berkenaan.

Beliau yang merakamkan penghargaan kepada orang awam kerana bertindak pantas menyalurkan maklumat berkata, siasatan lanjut itu dibuat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Ditanya butiran lanjut, Mohamad Zainal berkata, wanita itu berasal dari ibu negara dan seorang suri rumah kini ditahan untuk membantu siasatan bagi memastikan dia tidak terlibat lagi dalam cubaan membunuh diri.

“Dia sebenarnya ada masalah rumahtangga, puncanya adalah masalah dengan suaminya di rumah.

“Kita akan membawa wanita itu ke mahkamah di Jalan Duta pagi esok untuk mendapatkan kebenaran reman bagi membantu siasatan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Dalam keadian pagi tadi, wanita itu memanjat bumbung jejantas stesen monorail dan cuba terjun.

Seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Pudu dikejarkan ke lokasi dan berjaya memujuk wanita berkenaan. – MalaysiaGazette