Safawi Rasid (jersi putih).

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta penyokong bola sepak negara tidak bimbang dengan kecederaan yang dialami Safawi Rasid ketika skuad Harimau Selatan membelasah UiTM 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.

Beliau menjelaskan kecederaan yang dialami Safawi hingga dikeluarkan seawal minit kelapan menyaksikan bintang Harimau Malaya itu menitis air mata menahan kesakitan bukanlah kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut memberi jaminan pemain sayap yang berguru di Portugal itu sebelum ini akan kembali beraksi bersama pasukan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

“Jangan risau, Alhamdullilah bukan ACL. Kita hanya bermain di ACL (Liga Juara-Juara Asia), itu sahaja.

“Terima kasih, dua atau tiga minggu lagi…Insya-Allah ok,” balas ringkas daripada Tunku Ismail dalam media sosial.

Dalam perlawanan yang dikuasai skuad Harimau Selatan di Stadium UiTM, Safawi mengalami kecederaan ketika cuba melepasi pemain tengah tuan rumah, Mohamad Syafiq Al-Hafiz Dawawi pada minit kelapan.

Kecederaan tersebut membuatkan pemain terbaik negara ketika ini tidak dapat meneruskan permainannya.

Kemenangan itu menyaksikan JDT terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super dengan mengutip sembilan mata daripada tiga perlawanan awal musim ini. – MalaysiaGazette