Faisal Abdul Halim.

KUALA LUMPUR – Semangat tinggi yang ditampilkan pemain muda selain mampu mengikuti taktikal yang diterapkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain menjadi antara ramuan utama di sebalik kejayaan Terengganu FC (TFC).

Pasukan itu telah melakar tiga kemenangan berturut-turut.

Pemain sayap TFC, Mohd. Faisal Abdul Halim mengakui di sebalik tanpa kehadiran ramai pemain bintang, itu bukan halangan buat skuad Penyu mempamerkan prestasi yang cemerlang untuk berada di tangga kedua Liga Super.

Tambahnya, beliau dan rakan sepasukan begitu selesa bekerja dengan Nafuzi yang tidak akan meletakkan tekanan kepada pemain bagi mengharungi tiap perlawanan yang mendatang.

Dalam masa sama, dia juga gembira kehadiran Jordan Mintah dan Dechi Marcel N’Guessan yang dinaikkan dari Terengganu FC II turut membantu kekuatan pasukan selepas kehilangan Chris Herd, Petrus Shitembi (kecederaan ACL) dan David da Silva.

“Sebelum datang ke sini, saya ingatkan setiap pemain akan sentiasa diletakkan tekanan untuk menang namun nyata cara di sini berbeza di bawah jurulatih, Nafuzi yang ada caranya tersendiri disenangi semua.

“Suasana di sini lebih santai dan kami berasa lebih mudah untuk bermain tanpa ada rasa bebanan, itu menjadi salah satu faktor utama kami berjaya bermain agak baik dalam tiap perlawanan.

“Kami membuktikan di dalam pasukan ini walaupun majoriti terdiri daripada pemain muda, kami ada kualiti untuk pergi lebih dalam saingan Liga Malaysia selepas mampu meraih kemenangan dalam semua perlawanan setakat ini.

“Pemain import seperti Mintah dan Marcel jelas mahu dapatkan ruang bermain di Liga Super dan mereka membalas kepercayaan diberikan dengan banyak membantu pasukan dalam semua perlawanan yang dilalui, ” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Terbaharu, TFC melakar kemenangan 2-0 di Stadium Perak, Ipoh, pada Ahad dengan Faisal menjadi penjaring pertama pasukan pada minit-24 manakala jaringan kedua oleh Marcel N’Guessan, pada minit 90.

Kemenangan itu meletakkan TFC menyamai pungutan mata dengan pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu sebanyak sembilan namun dibezakan dengan perbezaan jaringan yang menyebelahi skuad Harimau Selatan.

Namun, Faisal tidak mahu ramai pemerhati meletakkan TFC sebagai pencabar utama kepada JDT kerana perjalanan liga musim masih jauh dan dia cuma mengharapkan mereka mampu meraih kedudukan yang sebaik mungkin di penghujung musim.

“Saya gembira kerana mampu meledak jaringan pertama dengan TFC pada perlawanan semalam yang seterusnya mampu meningkatkan lagi motivasi saya untuk harungi musim ini.

“Terlalu awal sebenarnya untuk memperkatakan peluang kami untuk musim ini kerana baharu tiga perlawanan sahaja dilalui tetapi permulaan sebegini cukup penting dalam membina keyakinan dalam diri pemain.

“Saya hanya mahu memikirkan satu persatu perlawanan dengan pasukan dan apa sahaja keputusan di akhir musim, saya serta rakan-rakan mengharapkan keputusan yang baik buat pasukan, “ katanya.

Aksi seterusnya buat TFC ialah bertemu Melaka United di laman sendiri iaitu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu ini. – MalaysiaGazette