KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim
(JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui beliau mahu memiliki sebahagian pegangan saham dalam kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.
Tuanku Mahkota Johor (TMJ) itu menyatakan hasratnya menerusi sesi soal jawab di laman Instagram milik beliau.
Beliau juga mengakui sudah melakukan perbincangan bersama kelab gergasi itu sebelum ini.
Jelas TMJ, beliau sentiasa terbuka untuk meneroka peluang baharu yang berpotensi terutama di Eropah.
“Saya baru ada perbincangan minggu lalu mengenai perkara itu. Hanya pegangan kecil. Walaupun kelab besar. Seperti saya katakan, saya terbuka untuk apa saja peluang,” katanya.
Sebelum ini TMJ bercadang untuk mengambil alih kelab La Liga, Valencia FC.
Diminta mengulas mengenai prestasi skuad kendalian Ole Gunnar Solskjer musim ini, beliau mengakui The Red Devils belum cukup kuat ketika ini.
“Tidak cukup bagus. Ed Woodward (Naib Pengerusi Eksekutif kelab) harus digantikan dengan saya,” katanya.
Sementara itu, Tunku Ismail turut berkongsi perkembangan tentang perbincangan untuk memiliki pegangan dalam Valencia FC.
“Selamat ulang tahun Valencia. Ya, ada perbincangan dengan pemilik (Valencia) untuk saya memiliki pegangan dalam kelab itu.
“Tapi ia tertangguh kerana kerumitan dan beberapa isu yang perlu diselesaikan,” katanya yang sebelum ini menggemparkan arena bola sepak tempatan apabila secara terbuka menyatakan keinginan untuk membeli Valencia FC. – MalaysiaGazette