Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail.

KUALA LUMPUR – Mana-mana Ahli Parlimen terutamanya dalam kalangan PKR yang didakwa dihubungi oleh individu tertentu perlulah berani melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menggunakan media sebagai platform dengan membuat dakwaan serta spekulasi serta memburukan pihak lain termasuk pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan SPRM tidak lebih daripada publisiti murahan.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail mengaku dirinya keliru mengapakah dakwaan kononnya ada pihak cuba membeli Ahli Parlimen PKR untuk menyokong kerajaan.

“Tidak perlulah tabur fitnah seperti ini. Janganlah guna media untuk cakap-cakap begini tapi lapor kepada SPRM dengan bukti serta fakta menyokongnya.

“Jika hanya dakwaan dan andaian sahaja, itu tidak lebih daripada memburukan kerajaan untuk agenda politik pihak tertentu.

“Ini masa pandemik, janganlah asyik hendak berpolitik sahaja biarlah kerajaan sedia ada ini fokus dalam memerangi Covid-19, tidak kasihan kepada rakyatkah?

“Nampaknya pembangkang masih tak henti-henti dengan budaya fitnah dan berniat jahat. Strategi memburukkan kerajaan, menimbulkan keraguan, dan melontar tohmahan ini memang sudah lama jadi amalan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada membuat pendedahan empat lagi ahli Parlimen PKR didakwa menerima pelawaan supaya memberik sokongan kepada kerajaan PN.

Keempat-empat mereka adalah Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini dan Ahli Parlimen Miri, Michael Teo Yu Leong.

Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail pula telah membuat laporan kepada SPRM susulan dakwaan cubaan mendapatkan sokongan beliau.

Dakwa Anwar, masih terdapat usaha mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen PKR dan mendakwa ada dalam kalangan mereka yang menerima ‘ugutan’ supaya berbuat demikian.

Bagaimanapun kata Mohd Shahni, seandainya ramai dari kalangan PKR melompat dan memberi sokongan kepada kerajaan ketika ini, mungkin ada tidak kena dengan perjalanan parti itu sendiri.

“Mungkin ada yang perlu diperbetulkan, janganlah asyik hendak tegakkan benang yang basah kemudian cuba salahkan PN atau Bersatu.

“Semuanya sedang berjalan dengan lancar ketika ini dalam menangani penularan Covid-19 serta pemulihan ekonomi, ada pula berita begini,” tambahnya.

Tambahnya, jika ada pemimpin yang bertindak menyokong kerajaan dari kalangan pembangkang, kita tidak boleh terus tuding jari dan cakap bukan-bukan melainkan ada bukti.

“Lapor pada pihak berkuasa, pada SPRM. Biar mereka siasat dan dedahkan perkara sebenar, janganlah kita memandai sehingga mengeruhkan keadaan yang akhirnya merugikan rakyat kita sendiri,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.