Ismail Sabri Yaakob

SEBERANG TAKIR – Barisan kepimpinan dan ahli Umno diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dikhuatiri pemimpin itu mempunyai agenda memecahbelahkan parti.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau juga bimbang kenyataan yang dikeluarkan Anwar boleh menimbulkan syak wasangka dalam kalangan pemimpin dan ahli parti.

“Saya takut ia boleh memecahbelahkan antara dalaman UMNO sendiri. Saya juga takut ada syak mengesyaki antara satu sama lain, masing-masing ‘petik’ nama orang itu dan orang ini, akhirnya sesama kita berpecah.

“Sebab itu saya harap UMNO, kita jangan dipengaruhi oleh kenyataan-kenyataan dibuat Anwar kerana agenda dia mungkin hendak pecah belahkan Umno sendiri,” katanya yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) di Kem Sri Pantai Seberang Takir di Terengganu hari ini.

Ismail Sabri diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar baru-baru ini yang dilapor berkata terdapat perbincangan tidak rasmi antara partinya dan UMNO mengenai kemungkinan akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ismail Sabri menegaskan UMNO tidak akan bekerjasama sama ada dengan Anwar, PKR, mahupun DAP dalam PRU15 nanti, seperti mana yang telah diputuskan dalam beberapa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti sebelum ini.

Beliau juga berkata tiada perbincangan berlangsung antara parti itu dengan PKR dan sekiranya didapati terdapat mana-mana pihak dalam UMNO mengadakan perbincangan dengan PKR, tindakan boleh diambil kerana melanggar keputusan MT.

“Tetapi sekarang ini kita dengar dari Anwar sahaja. Anwar ni setiap minggu pun dia boleh buat kenyataan. Dari dulu lagi, (tetapi) satu pun belum betul lagi,” katanya. – MAlaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak payah kerjasama pun umno beri kerjasama kepada slogan DAP Malaysian Malaysia dengan menyanjung hormat buruh warga asing dan bekas pejuang PKM dari Tanah Besar China dan India sebagai warganegara tempatan termasuk dasar apartheid DEB 30% untuk majoriti pribumi Melayu supaya minoriti bukan pribumi meraih 70% ekonomi. Syabas Azeris ambil balik Nagorno-Karabah selepas PBB tak boleh diharap.

Comments are closed.