BOULDER, COLORADO – Seorang lelaki dilihat berlumuran darah dan berjalan terdingkut-dingkut dengan tangan bergari ketika dia ditahan polis kerana disyaki membunuh 10 orang, termasuk seorang pegawai polis, di kedai runcit di Colorado.

Lelaki bersenjata api itu melepaskan tembakan di pasar raya King Soopers di Boulder, kira-kira 45 kilometer barat laut Denver pada lewat petang menyebabkan orang ramai dan para pekerja bertempiaran lari mencari perlindungan dan beratus-ratus anggota polis mengepung kawasan tersebut.

Menurut laporan media, polis percaya suspek bertindak secara bersendirian dengan menggunakan sepucuk rifal, lapor Reuters.

Pihak berkuasa hanya mengeluarkan sedikit maklumat dan tidak memberikan motif kejadian berdarah yang berlaku enam hari selepas seorang lelaki bersenjata api melakukan pembunuhan di Atlanta, dengan menembak mati lapan orang di tiga spa sebelum dia ditahan.

Keganasan di Colorado menyaksikan pembunuhan dilakukan premis perniagaan oleh seorang individu bersenjata api.

Ketua Polis Colorado, Maris Herold berkata, seramai 10 orang terkorban di tempat kejadian.

Antara yang maut ialah pengawai polis Eric Talley, 51, yang telah berkhidmat selama 11 tahun dengan polis Boulder yang mana beliau merupakan anggota pertama tiba di tempat kejadian.

Talley mempunyai tujuh orang anak dan sedang mencari pekerjaan yang kurang berbahaya, menurut bapanya.

Polis berkata, suspek dibawa ke sebuah hospital untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan namun tidak menghuraikan bagaimana dia tercedera.

Rakaman video yang disiarkan stesen televisyen menunjukkan seorang lelaki berjambang tanpa baju dan berseluar pendek dibawa polis keluar daripada pasar raya itu berjalan terhinjut-hinjut dengan tangan bergari dan dia diletakkan di usungan (stretcher) dan dimasukkan ke dalam ambulan.

Salah satu kakinya kelihatan berlumuran darah. – MalaysiaGazette