Jumlah individu yang ditahan kerana merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran meningkat kepada 38 orang semalam berbanding 32 orang kelmarin.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jumlah individu yang ditahan kerana merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran meningkat kepada 38 orang semalam berbanding 32 orang kelmarin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, kesalahan itu mendominasi jumlah tangkapan ke atas mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Katanya, seramai 95 orang ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 86 orang dikompaun manakala sembilan lagi direman.

“Kesalahan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran merekodkan 38 kesalahan, diikuti gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera sebanyak 31 kes dan aktiviti pusat hiburan sebanyak 17.

“Selain itu, lapan orang ditahan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dan seorang ditahan atas kesalahan tiada penjarakan fizikal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pasukan petugas Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja melakukan 64,307 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP semalam.

Seramai 3,562 pasukan pematuhan membabitkan 15,868 anggota membuat pemantauan di 4,681 pasar raya, restoran (5,560), kilang (1,646), bank (3,939), pejabat kerajaan (1,123) dan penjaja (2,736).

Turut dipantau ialah pasar awam dan tani (2,450), tempat ibadah (3,415), tempat riadah (1,565), terminal pengangkutan darat (1,406), terminal pengangkutan air (321) dan terminal pengangkutan udara (97).

Sementara itu Ismail Sabri juga memaklumkan, seramai tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas.

“Sebanyak 148 buah bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 21 aktiviti penglihatan dan 14 orang PATI diusir melalui tiga aktiviti pengusiran.

“Sebanyak 257 sekatan jalan raya turut dilaksanakan oleh pasukan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain,” tambahnya. – MalaysiaGazette