Anggota Tentera Malaysia (ATM) mengawal laluan keluar masuk sekitar kawasan Chow Kit berikutan diketatkan kawalan pentadbiran bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula di dua buah negeri iaitu Kelantan dan Sarawak mengikut daerah.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan PKP itu dilaksanakan di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah di Kelantan.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 30.5 peratus di negeri Kelantan dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 756 kes kepada 1,088 kes dan kesemua tujuh jajahan/daerah ini berada di dalam Zon Merah.

“Selain itu, terdapat juga 9 kluster baru telah dilaporkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaksanaan PKP itu akan bermula 16 April sehingga 28 April ini.

Berikutan pelaksanaan PKP itu, sekatan jalan raya akan diadakan di semua sempadan daerah dan akan mengikut SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikemaskini pada 26 Februari 2021.

Malah semua aktiviti sosial tidak dibenarkan termasuk solat terawih.

Sementara itu, dua Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Tanjung Batu Keramat, Kota Belud, Sabah dan tiga lokaliti di Pahang.

Pelaksanaan PKPD di Kampung Tanjung Batu Keramat dilakukan selepas 17 kes positif direkodkan hasil daripada 25 ujian saringan ke atas penduduk lokaliti tersebut.

Sementara itu, tiga lokaliti di Pahang iaitu Ladang Leepang, Ladang Laukin, Kampung Inoi di Muadzam Shah, Rompin, Pahang turut dilaksanakan PKPD selepas merekodkan 25 kes positif Covid-19.

Kedua-dua PKPD itu akan berkuatkuasa mulai esok sehingga 28 April depan. – MalaysiaGazette