Pelajar, Muhammad Anas Sharfuddin Sharin mengambil peluang membaca Al-Quran pada bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Surau Al-Islah Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2021.

Ramadan bulan penantian

Penantian Saiyidus Syuhur (penghulu sekalian bulan) yang membawa keberkatan dan pahala berganda sepanjang menjalani ibadah di dalamnya. Bulan yang dinanti-nantikan oleh mereka yang mendambakan rahmat pengampunan dari Allah SWT dan mengaut segala ganjaran pahala yang ada di dalamnya sekali gus berpeluang mempertingkatkan amalan kebaikan serta
ibadah untuk mentarbiyah diri menjadi hamba yang lebih mengenal PenciptaNya. Rasulullah SAW bersabda; “Apabila sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis tersebut dihuraikan lanjut dalam kitab Riyadhus Solihin bahawa Ramadan memiliki banyak kelebihan kepada mereka yang mengerjakan ibadah berpuasa iaitu pertamanya dibukakan pintu-pintu syurga dan mereka yang telah meninggal dunia pula dihentikan azab kubur seketika sepanjang Ramadan.

Kedua, kesemua pintu neraka ditutup dan mereka yang meninggal dunia dalam bulan Ramadan terlepas dari seksaan kubur.
Ketiga, sepanjang bulan Ramadan ini syaitan dan iblis dibelenggu dan dirantai daripada menggoda manusia untuk membuat kemungkaran dan kemaksiatan.

Ramadan bulan istimewa

Keistimewaan Ramadan bukan hanya terletak pada juadah makanan yang beraneka rupa, warna, dan rasa di bazaar Ramadan. Ia juga bukan terletak pada kepelbagaian persiapan menjelang perayaan Aidilfitri di penghujungnya. Namun, ia adalah bulan untuk kita
melakukan audit dalaman diri. Adakah kita mampu memanfaatkan setiap ruang dan peluang di bulan mulia ini untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT?

Di dalam al-Quran, telah dinukilkan bahawa Ramadan dikenali juga sebagai Syahrul Syiam (Bulan puasa), Syahrul Quran (Bulan Quran), Syahrul Sabr (Bulan kesabaran) dan Syahrul Barakah (Bulan keberkatan). Ramadan juga terkenal dengan gelaran Saiyidus Syuhur kerana disebut dengan banyaknya keistimewaan dan kelebihan yang terdapat pada bulan ini.

Ramadan bulan istimewa lagi mulia di mana turunnya al-Quran dan bulan ini digalakkan untuk mendalami dan mempelajari al-Quran dengan menghidupkan amalan bertadarus. Amalan bertadarus dapat menyucikan jiwa dan memperbaiki diri untuk terus belajar
membaca al-Quran dengan tertib dan tartil. Bacaan yang dibaca akan diperdengarkan pada semua ahli dan ahli tadarus perlu memberi teguran sekiranya terdapat kesalahan tajwid atau bacaan.

Sementelah itu, umat Islam digalakkan untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran di bulan Ramadan. Meskipun hanya seketika masa yang dapat diluangkan untuk membaca al-Quran, namun pengisian bermakna ini dijanjikan ganjaran yang amat besar.
Dalam bulan Ramadhan hadirnya kewajipan menjalani ibadah puasa selama sebulan, membayar zakat fitrah, melakukan solat sunat tarawih, terdapat malam mulia iaitu Lailatul Qadar, Nuzul Al-Quran, aktiviti tadarus Al-Quran, ganjaran hebat bersedekah, qiamullail, beriktikaf dan lain-lain amalan lagi.

Oleh kerana begitu hebat keistimewaan dan kelebihan yang terkandung di dalamnya sehinggakan tidak dapat ditandingi oleh bulan-bulan yang lain. Hal ini ditegaskan oleh baginda Rasulullah bahawa “Seandainya manusia mengetahui
keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan” (Hadis Riwayat Thabrani, Ibnu Khuzaimah & Baihaqi).

Kasihnya Allah terhadap hamba-hambaNya apabila menjelang Ramadan juga dibuka seluas-luasnya pintu keampunan untuk mereka yang mengharapkan keredhaan Allah SWT. Hal ini dinyatakan dalam sabda Nabi Muhammad SAW bahawa; “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ramadan ibarat hadiah buat mereka yang ikhlas menjalani dan taat melakukan ibadah puasa dibalas dengan ganjaran keampunan. Malah disarankan untuk memperbanyakkan berdoa kerana setiap doa orang yang berpuasa tidak akan ditolak oleh Allah sehinggalah sampainya waktu berbuka.

Justeru setiap individu perlu sentiasa berdoa, tidak mensia-siakan masa yang ada dan sentiasa bermotivasi untuk ‘merebut’ ganjaran pahala agar dapat memperoleh kebaikan di dunia dan juga akhirat. Ini kerana, manusia tidak akan pernah rugi mencari redha
Allah, hidup yang diberkati Allah akan sentiasa dihujani dengan rahmat dan keberkatan. Oleh itu, sambutlah seruan Ramadan untuk memperbaiki amalan diri dan mohonlah keampunan dengan bersungguh-sungguh agar tidak tergolong dalam golongan hambaNya yang rugi.

Ramadan bulan menahan hawa nafsu dan perkara mungkar

Ramadan sememangnya amat sinonim dengan konotasi “amal makruf nahi mungkar” yang menuntut penganutnya untuk mengerjakan amal ibadah dan kebajikan di samping menyantuni diri untuk tidak melakukan perkara-perkara mungkar. Hal ini diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: ”Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya”.

Hal ini menunjukkan setiap perbuatan dan percakapan hendaklah dijaga dengan menghindarkan diri dari menghamburkan kata-kata kesat, melakukan aktiviti mengumpat danmelakukan kemaksiatan. Malah didik diri juga untuk menjaga penglihatan dan pendengaran dari melihat dan mendengar perkara yang mengundang dosa. Pengisian Ramadan boleh dilakukan dengan memperbanyakkan amalan berzikir, beristighfar, berselawat, membaca al-Quran dan melakukan solat sunat. Tuntasnya, pemantapan rohani perlulah dilakukan secara holistik untuk berjaya mendapatkan ganjaran hebat sepanjang Ramadan.

Sekiranya disingkap tabir Ramadan ini, ia merupakan bulan mulia mendidik diri untuk berjihad menentang nafsu. Pada bulan ini Allah telah mengikat syaitan dan iblis dari terus menggoda umat manusia. Kemungkaran yang berlaku adalah berpunca dari kegagalan
mengawal hawa nafsu. Amalan berpuasa sesungguhnya dapat membantu melemahkan nafsu dan melalui cara memperbanyakkan amal ibadah juga dapat menjadi senjata ampuh mendidik hawa nafsu dari menguasai diri.

Justeru, sentiasa berazam untuk melawan hawa nafsu agar bulan tarbiyah ini mampu menundukkan nafsu yang selama ini bermaharajalela menguasai diri tanpa sedar. Jangan mudah berputus asa untuk mendidik diri menjadi khalifah yang soleh
dan seterusnya memacu pembentukan ummah Rabbani.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz
ensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast